Kami tiada masa bersedih dan kecewa, kata Pemuda Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Mukadimah

Kelibatnya kerap muncul dalam aksi protes di jalan raya bahkan pernah bersama-sama aktivis lain berkhemah dari tapak rumah peneroka bandar yang diancam pengusiran sehingga di depan pintu gerbang Universiti Malaya (UM) dan jalan masuk Parlimen. 

Ini membuktikan suara seorang anak muda seperti Khairol Najib Hashim,23, selaku Ahli Jawatankuasa Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), yang juga bergelar ustaz kini sudah melangkaui  ke pintu surau dan masjid.

Beliau agak tidak berminat  untuk menyebut mengenai PAS,  kerana prinsip mahasiswa tahun akhir di Jabatan Siyasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, UM ini jelas tidak lagi mahu menoleh ke belakang apalagi bersedih pilu dan kecewa sehingga hanyut dalam sindrom saling menyalahkan pihak lain.

Tidak hairanlah, meminjam katanya, “hati kering” beliau kini memilih parti Amanah sebagai wadah perjuangan lanjutan daripada penglibatannya dalam gerakan pelajar sejak bergelar mahasiswa mulai 2012 lagi.

Ikuti wawancara Malaysia Dateline  bersama bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) 2014/2015, Khairol Najib Hashim  baru-baru ini, yang turut memperkatakan tentang iltizamnya sebagai Pengarah Pembangunan Kepimpinan Muda dalam Pemuda Amanah.

Malaysia Dateline (MD): Boleh kongsikan pendedahan awal saudara kepada siasah?

Khairol Najib Hashim ketika mengadakan demontrasi di Parlimen.Khairol Najib Hashim: Saya bermula dengan tarbiyyah yang dibawa oleh PAS sejak 2010 ketika belajar di Nilampuri, Kelantan. Di sana sehingga 2012, saya dan sahabat seperjuangan banyak menyertai pelbagai aktiviti anjuran kerajaan negeri Kelantan. Melangkah ke UM, saya terlibat dengan PMI (Persatuan Mahasiswa Islam).

Awal tahun 2015, saya dilantik menjadi Naib Presiden GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia) tetapi bulan Ogos lalu saya letak jawatan terlebih dahulu. Ya. Keluar secara harmoni sebelum menyertai Amanah.

MD: Kenapa saudara nekad memilih Amanah?

Khairol: Saya merasakan usaha dan perjuangan tidak harus terhenti dalam politik kepartian yang merugikan. Kita tidak punya banyak masa untuk menyerang sesama sendiri.

Cukup-cukuplah menyerang. Biarkan mereka. Bagilah penerangan terbaik dan jalan terus. Kita mesti gerak ke depan. Saya mahu meneruskan perjuangan selepas terlibat dalam gerakan pelajar sejak Tahun 1 lagi.

Bagi saya, inilah fasa paling sesuai sebagai transisi saya dari gerakan pelajar kepada gerakan politik. Mungkin ramai bekas aktivis pelajar lebih selesa terlibat dalam NGO atau mahu dikenali sebagai non-partisan. Namun, saya secara terbuka mahu terlibat dalam gerakan politik.

Apa yang unik pada Amanah kerana sebagai parti baru, ia bermula daripada sifar. Masa depan untuk suara anak muda berperanan dan mempengaruhi keputusan dan dasar negara dapat dilihat pada komposisi Pemuda Amanah sendiri.

Walaupun dalam perlembagaan, umur Pemuda di bawah 40 tahun tetapi pada masa ini, 75 peratus kepimpinan Pemuda Nasional berumur 30 tahun ke bawah. Ini satu perkembangan baik.

Sebelum ini ketika di luar (parti) tetapi bila saya mahukan perubahan, jadi kenapa tidak masuk ke dalam (parti)? Saya ambil keputusan ingin turut sama mencorakkan Pemuda Amanah mengikut iltizam dan impian apa yang anak muda mahukan.

Penglibatan dengan banyak NGO sebelum ini sedikit sebanyak membolehkan saya tahu apa keperluan dan kehendak segenap lapisan masyarakat. Saya cuba bawa hasrat ini melalui Amanah.

MD: Bagaimana peringkat awal saudara dalam Amanah?

Khairol: Mulanya saya dalam Gerakan Harapan Baru Anak Muda. Itu sebelum 31 Ogos lagi. Saya ketika itu sebagai Ketua Penerangan. Sempat juga kami lakukan beberapa program dan aktiviti. Antaranya, serah memorandum ke istana dan ziarah Yazid.

Sehinggalah tiba pelancaran Amanah pada 16 September tapi ketika itu saya belum lagi menjadi ahli parti. Hanya pada 22 Oktober lalu saya secara rasmi menjadi ahli Amanah bersama-sama rakan-rakan yang lain dengan diumumkan oleh Salahuddin Ayub.

Alhamdulillah, sejak terlibat dalam penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) lagi, banyak idea dan pandangan anak muda disambut baik oleh pemimpin.

Sebelum ini kami anak muda lontarkan tiga nilai teras iaitu Amanah, Progresif dan Islah tapi dua diterima pakai itu (Amanah dan Progresif), kira Alhamdulillah. Sebelum ini saya ada menulis artikel kalau mahu tubuh parti baru, parti itu bukan ada nama Islam.

Sebabnya? Kita tidak mahu pengulangan cerita berlaku lagi. Kita buka keahlian kepada non-Muslim tetapi masih membawa aspirasi dan perjuangan Islam.

Hal-hal ini walaupun ada menganggap “kau siapa” tetapi bagi saya menerima sebahagian idea pandang itu sudah merupakan satu permulaan baik pada kami anak muda.

MD: Bagaimana Amanah khususnya Pemuda berdepan dengan serangan dan persepsi negatif yang dianggap mahu menyaingi PAS?

Khairol: Bagi kami di Pemuda, kami mahu gerak ke depan, terus maju. Tidak mahu berundur, tunjukkan aksi, buat kerja dan kurangkan bercakap. Ada orang kata, Amanah ini parti kecewa.

Soalnya, adakah mereka sendiri sebenarnya yang kecewa? Kami khususnya di Pemuda Amanah sama sekali tidak kecewa sebab kita mahu meneruskan perjuangan demi keadilan dan kepentingan massa.

Saya sendiri hati kering buat keputusan untuk menyertai Amanah. Bagi saya, individu yang mengalami lagi besar tekanan adalah Presiden Amanah sendiri, Salahuddin dan ramai lagi ‘orang lama’ yang sebelum ini berjuang dalam PAS.

Ramai lagi anak muda macam saya sebelum ini tidak terlibat secara langsung dengan PAS, ada juga rakan-rakan yang bergiat dalam NGO masuk Amanah. Jadi, itu satu petanda baik termasuk sambutan daripada masyarakat non Muslim.

Bagi saya sekarang ialah fasa menerang, terpulanglah orang nak cakap apa. Kita pamerkan kerja kita, tunjukkan aksi dan bawa keluar produk, apa yang Pemuda tawarkan kepada generasi muda negara ini. Ini yang kami utamakan.

Kami sudah tiada masa untuk bersedih-pilu apa lagi kecewa. Jadi, terpulang pada parti-parti pembangkang lain. Kita terbuka untuk bekerjasama bahkan kita menjalin hubungan dengan sayap Pemuda parti-parti lain dengan tertubuhnya Sekretariat Pemuda Pakatan Harapan.

Kita sudah sepakat untuk menganjurkan konvensyen Pakatan Harapan pada tahun depan. Itu projek pertama kita. Apa yang jelas, buat masa ini Pemuda Amanah bersama PKR dan DAP terus gerak ke depan untuk PRU14.

Malaysia Dateline: Tentu sekali PRU14 menjadi fokus Pemuda Amanah dan Pemuda Pakatan Harapan dalam tempoh kira-kira dua tahun ini?

Khairol: Ya. Kita sedang memberi tumpuan untuk PRU14. Sebabnya, rakyat meletakkan harapan tinggi kepada pihak pembangkang sejak 2008. Mengapa harus kita berlengah? Sekarang hanya dalam tempoh dua tahun sebelum PRU, kita perlu banyak buat kerja untuk memperbaiki persepsi dan gerak kerja itu sendiri.

Sekarang ini kita sudah fokus untuk pendaftaran pemilih baru. Saya sendiri ketika berceramah dalam program Pakatan Harapan itulah perkara penting saya tekankan. Daftar pengundi sebabnya protes dan tidak puas hatilah dengan rejim sedia ada tetapi kalau mendaftar sebagai pengundi pun tidak, tiada makna.

MD: Saudara juga dilihat banyak bertemu dengan pemimpin atau tokoh politik. Apa signifikan pertemuan Pemuda Amanah dengan mereka?

Khairol: Bagi saya penting sekali untuk Pemuda Amanah bergaul dengan tokoh berpengalaman dan orang yang sudah diuji dengan sepak terajang politik ini.

Anak muda perlu berdamping dengan ‘orang lama’. Dari situ kita belajar menimba pengajaran. Saya sendiri sebelum ini beberapa kali bertemu dengan Datuk Husam Musa.

Khairol Najib bersama bekas pimpinan DHPP, Hu Pang Chaw di Kota Bharu dalam satu pertemuan pada November lalu.Ketika menziarahi Datuk Husam selepas beliau sembuh dari minor strok sempat bekas Naib Presiden PAS itu berkongsikan beberapa petikan ayat al-Quran walaupun mungkin kita sudah biasa dengar tetapi sebagai ‘refreshment’.

Baru-baru ini ini pula bertemu dan mendengar banyak tips berguna daripada Hu Pang Chaw (bekas pemimpin Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat).

Jumpa bersemuka dan mendengar sendiri pendiriannya tentang hudud. Beliau tak tolak hudud pun tapi baginya keperluan ekonomi perlu terlebih dahulu dipastikan dipenuhi supaya tidak berlaku kes curi atas desakan hidup.

Pang Chaw juga berkongsikan pengalamannya sempat berkempen 4 hari ketika PRU13 dulu. Itu pun mampu kurangkan 7,000 undi daripada tahun 2008.

Pendek kata, jumpa orang lama termasuk mereka yang sekarang ini dalam Amanah sebenarnya banyak membantu kita untuk mengguna pakai idea pandang mereka.

Presiden sendiri (Mohamad Sabu) ketika dalam PAS, beliau yang dulu mahukan kepimpinan ulama. Hari ini, Abang Mat selalu ingatkan kepada anak muda pentingnya seimbangkan akidah dan akhlak.

“Kita boleh sembang akhlak macam-macam tetapi kalau akhlak kita hancur, tak guna,” itu antara kata Presiden Amanah. Itu yang beliau selalu tekankan kepada kami di Pemuda.

MD: Saudara sebelum ini dilihat peka pada isu marhaen seperti tuntutan pendidikan percuma, isu peneroka bandar, GST, bahkan terlibat dalam solidariti menuntut pembebasan aktivis Khalid Ismath. Apakah pendekatan dan kesungguhan politik seperti ini akan diteruskan semangatnya dalam Pemuda Amanah?

Khairol: Amanah sebagai parti baru. Kita yang bertanggungjawab untuk corakkan hala tuju parti ini. Saya rasa tidak bermakna bila kita masuk parti politik, kita tinggalkan kegiatan lama kita. “Kerja-kerja bawah” penting bukan sahaja yang bersifat populis.

Macam isu Khalid Ismath, saya berkawan dengan dia sejak 2010. Prinsip saya walaupun dalam parti tetapi atas dasar persahabatan dan kemanusiaan, itu kita perlu perjuangkan.

Isu pendidikan percuma pula saya akan terus perjuangkan. Sekarang dalam perancangan bawa isu pendidikan percuma ini yang sebenarnya sudah lama diperjuangkan rakan-rakan dalam PSM (Parti Sosialis Malaysia).

Tidak kurang juga pentingnya ialah pelbagai isu orang kampung, isu marhaen di kota. Jangan bila kita masuk parti politik, kita tinggalkan. Letaklah kita di mana-mana pun yang penting perjuangan diteruskan dengan ikhlas

Itu sebab saya sarankan rakan-rakan terutama Muslim yang terlibat dalam parti politik ini mencontohi iltizam dan usaha berterusan Arul dan ahli-ahli PSM. Mereka tidak populis tetapi mereka dekat di hati rakyat kerana konsisten memperjuangkan hak dan keadilan masyarakat tertindas.

Ramai mereka itu yang non Muslim. Sebut saja isu kezaliman, isu peneroka bandar, orang akan sebut Arul. Jadi, tidak salah untuk kita mencontohi kerja kuat mereka di lapangan.

Dr Kumar contohnya mengamalkan sikap kesederhanan. Beliau dengan kereta biasa, datang KL pun tidur di YMCA, bukan di hotel mewah. Gajinya banyak diguna untuk rakyat di Sungai Siput. Tak langgar prinsip parti dan akidah pun kita mencontohi kesederhanaan dan ‘political will’ Dr Kumar.

MD: Apa pandangan saudara terhadap segelintir Ahli Parlimen parti pembangkang yang kerap tidak hadir sidang Dewan Rakyat?

Khairol: Kamu (Ahli Parlimen) dipilih oleh majoriti rakyat. Kenapa letak kepentingan parti dulu berbanding kepentingan rakyat? Ya, kamu bertanding atas tiket parti tapi kamu menang atas tiket rakyat.

Bukan ahli parti saja menangkan kamu tapi rakyat yang menangkan kamu. Rakyat mahukan perubahan. Perbahasan untuk kelulusan Bajet 2016 lalu misalnya, tak patut sama sekali ada ahli parlimen tidak datang. MP dilantik untuk bahas di Parlimen.

Kerja-kerja di kampung, kalau konon banyak sangatlah, ada waktunya, bahagi dan uruskanlah masa dengan sebaiknya. Parlimen ini bersidang tiga kali. Sekali bersidang sebulan, takkanlah tak boleh hadir di Parlimen. Macam-macam elaun dapat. Kenapa sebulan sidang Parlimen, itulah masa nak pergi tempat lain?

Kalau aksi di jalanan pun tak turun, dalam Parlimen pun tidak mainkan peranan yang sewajarnya, apa makna kamu itu bergelar wakil rakyat?

MD: Harapan saudara kepada anak muda termasuk rakan-rakan mahasiswa?

Khairol: Manfaatkan usia muda untuk pembinaan dan pembangunan ummah. Budayakan nilai Islami dan Insani dalam muamalah bersama teman dan masyarakat awam.

Saya berharap anak-anak muda dan rakan-rakan mahasiswa juga semua rakyat sama ada terlibat dengan parti politik mahupun tidak, perlu sedar negara berada dalam fasa yang kritkal dengan nilai mata wang makin menyusut.

Dua isu utama yang penting untuk golongan muda sedar dan berusaha tangani demi masyararakat yang sejahtera pada masa depan ialah persepsi ekonomi dan masayrakat majmuk

Bagaimanaka kita hendak memastikan agihan kekayaan ekonomi berlaku secara adil dan menguruskan kemajmukan masyarakat ini, memerlukan peranan dan sumbangan anak muda.

Anak muda perlu kesedaran politik tinggi untuk sampaikan mesej gerakan, kebenaran dan perubahan kepada orang kampung. Mana yang terlibat dalam parti politik perlu berperanan sebaik mungkin supaya hasrat rakyat tidak sekadar harapan kosong atau tinggal angan-angan semata-mata.

Sampai bila rakyat dibiar terus berharap? Saya rasa anak muda yang celik politik, atau terlibat dalam NGO dan parti perlu melipatkaligandakan usaha.

TAGS