Kampung Mutiara: Hormati persetujuan tiga pihak

Kampung Mutiara: Hormati persetujuan tiga pihak

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Mohd. Rashid Hasnon berharap semua pihak termasuk penduduk Kampung Mutiara akur dan menghormati persetujuan dicapai tiga pihak dalam isu perpindahan penduduk.

Bercakap kepada pemberita, Mohd. Rashid percaya bahawa penyelesaian dicapai kerajaan negeri, tuan tanah dan wakil penduduk kali ini adalah yang terbaik setelah hampir 10 tahun kemelut Kampung Mutiara berlarutan.

“Penyelesaian yang telah dipersetujui ini adalah penyelesaian terbaik, dan saya berharap agar semua pihak dapat mematuhinya serta akur serta menghormati persetujuan yang diputuskan ini,” katanya yang turut bersama penduduk kampung ‘memujuk’ tuan tanah supaya menangguhkan tindakan perobohan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar mengumumkan bahawa kes itu dianggap selesai setelah mahkamah membenarkan penangguhan selama tiga bulan yang turut dipersetujui oleh semua pihak termasuk tuan tanah.

“Hasil perbincangan pelbagai pihak, mahkamah memutuskan bahawa writ milikan tanah bertarikh 10 Julai lalu ditarik balik oleh tuan tanah dan ditangguhkan sehingga tiga bulan.

“Maka penduduk hendaklah menyerahkan milikan kosong dalam tempoh tiga bulan dan sekiranya gagal, pemilik tanah berhak mendapatkan milikan kosong iaitu penduduk dikehendaki keluar (dari tanah tersebut),” umumnya di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang berkumpul sejak jam 8 pagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk mencari penyelesaian terbaik sejak dua tahun lalu demi kemaslahatan penduduk.

“Kita (kerajaan negeri) tidak mahu menafikan hak tuan tanah, tetapi pada masa sama kita tidak mahu penduduk di sini ditindas atau diusir keluar tanpa rundingan.

“Alhamdulillah setelah dua tahun, kita berjaya mencapai penyelesaian terbaik dan kata sepakat,” lapor Buletin Mutiara.

Hadir sama Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bunga, Teh Yee Cheu; Ahli-ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Syerleena Abdul Rashid, Chris Lee Chun Kit, Gan Ay Ling dan DR Kala serta Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Seri Ahmad Ismail.

Turut hadir Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Georgetown, Nurzafirah Mohamed Ali.

Difahamkan, penduduk yang terlibat akan ditempatkan di penempatan sementara di Sri Tanjung Pinang 1, Tanjung Tokong.

Kemelut Kampung Mutiara bermula pada 2007 apabila tuan tanah menyerahkan notis pengosongan kepada penduduk bagi membangunkan tanah itu.

Perkara tersebut berlanjutan apabila keputusan mahkamah sebelum ini berpihak kepada tuan tanah sehingga perintah mahkamah dikeluarkan pada tahun 2015 bagi menangguhkan tindakan pengosongan tanah di kampung tersebut.

TAGS