‘Kawan baharu’ BN hanya umpan politik, kata Husam

‘Kawan baharu’ BN hanya umpan politik, kata Husam

Dakwaan timbalan presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Barisan Nasional (BN) kini mendapat kawan baharu yang jumlahnya lebih besar dan tidak hairan kehilangan kawan-kawan lama hanyalah satu umpan politik.

Dakwaan timbalan presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Barisan Nasional (BN) kini mendapat kawan baharu yang jumlahnya lebih besar dan tidak hairan kehilangan kawan-kawan lama hanyalah satu umpan politik.

Naib presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid Jumaat lalu.

“Ini hanya umpan untuk memerangkap Pas,” katanya kepada pemberita selepas majlis menaikkan bendera Amanah di cabang 4 Binjai, Kubang Kerian, petang semalam.

Menurutnya pendirian tidak menentu pasti lamanya itu mengundang pelbagai spekulasi daripada pihak luar dan menyebabkan keresahan dalam kalangan ahli mereka sendiri.

“Ketika presiden Pas begitu berkeras tidak mahu menyertai gabungan parti-parti pembangkang dan dilihat begitu mesra dengan Umno, pendirian ahli-ahli parti mereka semakin celaru.

“Masing-masing bertegas kononnya tiada hubungan dan tiada cadangan untuk bersama Umno,” kata bekas naib presiden Pas itu.

Dengan pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Pakatan Harapan (PH), gabungan pembangkang kini semakin mantap.

“Kehadiran begitu ramai di majlis bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di majlis ceramah umum di Cherang dua hari lalu memberi isyarat jelas penerimaan rakyat.

“Sebelum ini walaupun rakyat benar-benar tidak tahan dengan kezaliman kerajaan Najib, mereka masih ragu dengan pasukan pengganti.

“Kini gabungan mantap Bersatu, PKR, DAP dan Amanah, rakyat semakin berkeyakinan penuh untuk membina masa depan negara tanpa BN,” katanya.

Ahli Pas tak rela bersama BN

Ditanya sama ada Pas masih ada harapan bersama gabungan pembangkang, beliau berkata sepatutnya itulah yang paling baik.

“Demi membela rakyat sepatutnya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru kali ini.

“Tetapi kalau Pas berkeras untuk bersendirian, mereka tentu akan dilihat janggal dan ditolak rakyat.

“Saya yakin di kalangan sebahagian pemimpin dan ahli Pas sendiri mereka tidak rela bersama BN dan mahu bersama gabungan pembangkang,” katanya.

Menurutnya, parti Amanah sebagai parti yang terbuka dan sentiasa positif untuk membela nasib rakyat, tidak menolak sesiapapun jika mereka mahu bersama menentang BN.

“Tetapi pihak Pas kelihatan begitu berharap untuk bersama Umno dan sentiasa mengadakan syarat-syarat pelik untuk menyertai gabungan pembangkang,” katanya.

Sebelum itu dalam ucapannya, Husam mahu parti-parti dalam pakatan harapan mengadakan strategi rentas sempadan untuk melebarkan pengaruh.

“Saya sebagai ketua Amanah kena berziarah ke rumah-rumah orang Umno.

“Cikgu Pin (Arifin Osman) sebagai ketua Bersatu pula perlu berziarah ke rumah orang Pas untuk sama-sama menerangkan kepada mereka kepentingan menjatuhkan kerajaan Najib,” katanya.

Beliau kemudian mengetuai upacara menaikkan bendera di sebuah kawasan tanah lapang milik persendirian berhampiran masjid Binjai yang akan dijadikan pusat kegiatan Amanah di kawasan berkenaan.

Husam mengetuai upacara menaikkan bendera Amanah di Kubang Kerian semalam

Turut hadir di majlis berkenaan ialah ketua PPBM bahagian Kubang Kerian Cikgu Ariffin Osman, naib pengerusi Amanah Kelantan Datuk Prof Dr Abdul Halim Yusof serta pimpinan Amanah dan Bersatu parlimen Kubang Kerian.

 

TAGS