Kawan lama Mahathir anggap pemimpin sekarang amal ‘politik jual negeri’

Kawan lama Mahathir anggap pemimpin sekarang amal ‘politik jual negeri’

Seorang kawan lama Dr. Mahathir Mohamad, Abdul Rashid Hashim, 101, menyifatkan situasi politik sekarang sebagai ‘politik jual negeri’ kerana terlalu jauh perbezaan politik dahulu berbanding sekarang.

“Politik dahulu memang kita nak jaga bangsa Melayu, tetapi sekarang semuanya berubah apabila masing-masing mahu jaga kepentingan sendiri. Sekarang hak orang Melayu kebanyakannya hilang dan dijual kepada bangsa lain,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan tanah rizab milik Melayu juga dijual kepada bangsa lain atas kepentingan dan kuasa politik.

Beliau yang pernah menjadi wakil rakyat bebas di Sik berkata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga antara kawan rapatnya sejak dahulu.

“Tun M memang pemimpin yang baik, disegani dan mudah berhubung ketika menjadi wakil rakyat,” katanya seperti disiarkan Sinar Harian Online hari ini.

Beliau yang lebih dikenali Pak Ngah Rashid atau Cikgu Rashid dalam kalangan penduduk setempat, masih sihat dan mampu berdakwah walaupun mengalami masalah pendengaran.

Di kala usianya, Pak Ngah Rashid beruntung kerana memiliki deria penglihatan yang masih baik tanpa perlu memakai cermin mata.

Ditanya apa rahsianya, beliau sekadar membalas, “Mungkin ini hasil amalan membaca al-Quran setiap hari, selain menunaikan kewajipan dan suruhan agama.”

Berkesempatan berjumpa dengan insan istimewa ini, pelbagai kisah dan pengalaman beliau dikongsi untuk tatapan pembaca supaya boleh dijadikan iktibar.

Jelajah 24 negara dalami ilmu agama, berdakwah

Selepas hanya sepenggal bergelar wakil rakyat, bekas Adun Sik itu mengabdikan diri mendalami ilmu agama dengan merantau ke 24 negara selain untuk berdakwah.

Rutin kehidupannya dalam siri jelajah itu bermula sejak usia 30-an hingga mencecah 100 tahun, di mana beliau akan menghabiskan masa selama empat bulan bagi setiap negara dikunjungi.

“Selepas pencen sebagai Adun, saya buat keputusan untuk tidak lagi melibatkan diri dalam politik. Sebaliknya, mahu mendalami ilmu agama dengan merantau di tempat orang,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui di kediamannya di Carok Bemban, Baling.

Menurutnya, segala perbelanjaan pengangkutan, makanan dan sebagainya ketika itu di bawah tanggungan sendiri.

“Banyak pengalaman dikutip ketika merantau. Bukan niat untuk melancong, tetapi mendalami ilmu agama. Antara pengalaman tidak dapat dilupakan ketika di Madagascar, Afrika di mana setiap seorang terpaksa memakai lapan helai baju kerana kesejukan,” katanya.

Tambahnya, mereka hanya menumpang tidur di masjid-masjid bagi mengurangkan kos perbelanjaan dan makan ala kadar bagi menjimatkan wang.

Beliau yang mempunyai 12 anak hasil perkahwinan dengan dua isteri, bagaimanapun, tidak lagi terlibat dalam siri jelajah itu sejak setahun lalu berikutan faktor kesihatan.

Bekas guru itu kini perlu menggunakan mesin gas sedutan asma setiap tiga kali sehari dengan kos perubatan yang tinggi.

Berbekalkan wang pencen RM1,200 sebulan masih tidak mencukupi untuk membeli keperluan ubatnya, namun dibantu oleh anak-anaknya di mana salah satu ubat yang diperlukan bernilai lebih RM700 setiap bulan.

Bertanding calon Bebas kerana rakyat

“Saya bertanding sebagai calon Bebas sebab rakyat tidak mahu calon Umno itu lagi,” katanya mengimbas penglibatannya dalam dunia politik.

Pak Ngah Rashid menang dalam pilihan raya umum sekitar tahun 50-an nekad bertanding setelah mendapat sokongan masyarakat setempat.

“Waktu itu, orang tidak mahu wakil rakyat Umno di kawasan itu, sebab sudah terlalu lama pegang jawatan wakil rakyat. Saya beritahu dia, rakyat tidak mahu dia lagi, tetapi dia tetap nak bertanding,” katanya.

Disebabkan itu, beliau mengambil keputusan bertanding sebagai calon Bebas setelah calon Umno itu tidak mahu melepaskan jawatannya.

“Bila dia tidak mahu letak jawatan, saya ajak dia lawan dalam pilihan raya yang turut melibatkan calon Pas. Keputusan pilihan raya menyebelahi saya dan saya menjadi Adun Sik selama sepenggal,” katanya yang ketika itu menerima gaji wakil rakyat sebanyak RM1,800 selain elaun perjalanan 50 sen setiap kilometer.

“Duit itu lah yang saya gunakan untuk bantu rakyat dan beri sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Selepas cukup sepenggal, saya tidak mahu lagi bertanding sebab tujuan bertanding adalah mahu calon Umno itu berhenti,” katanya.

Ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi! Pak Ngah Rashid rupanya mempunyai hubungan persaudaraan dengan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar pernah menyewa dan menjadikan salah satu bilik di rumah saya sebagai pejabat sewaktu melibatkan diri dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Di rumah inilah Anwar tinggal sebelum melibatkan diri dalam politik, di sinilah segala peristiwa berlaku sebelum dia ditangkap beberapa kali,” katanya.

Isteri Abdul Rashid yang setia menemani, Che Embun Othman, 64, berkata, bilik itu kini dijadikan bilik solat setelah lama tidak digunakan.

TAGS