Kawan makan kawan: Pemuda Pas sindir Presiden Pas, kata MP Sepang

Kawan makan kawan: Pemuda Pas sindir Presiden Pas, kata MP Sepang

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Batu (DPPK), Nurul Islam Mohamed Yusoff yang mengatakan Amanah ibarat “kawan makan kawan”  sekiranya parti itu berhasrat meletakkan calonnya di kerusi tradisi PKR, seakan menyindir Pas dan Presiden Pas.

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin berkata walaupun secara peribadi tidak mengenali Nurul Islam, beliau hanya mampu tersenyum dan ketawa apabila membaca kenyataan pemimpin muda Pas itu.

” Macam mana saya tidak senyum dan ketawa kerana kenyataannya itu semacam menyindir Pas dan Presiden Pas.

“Bila cakap soal ‘kawan makan kawan’ mungkin Ketua Pemuda Pas Batu kena tanya Presiden dia sendiri soalan-soalan berikut:-

” Bila Presiden Pas sendiri keluarkan watikah dan benarkan calon Pas bertanding di Dun Kota Damansara – kerusi PKR dan pernah dimenangi oleh PKR yang menyebabkan pertandingan 3 penjuru di Dun itu dan akhirnya memenangkan calon BN, itu bukan  ‘kawan makan kawan’ ke saudara?

“Pas tak dikira ‘kawan makan kawan’ ke di Dun Sungai Aceh di Pulau Pinang saudara?

“Bila Presiden Pas tak mahu sokong dan berkempen untuk Dr Wan Azizah, calon PKR dalam pilihan raya kecil di Parlimen Permatang Pauh, adakah itu tidak dinamakan “kawan makan kawan” ke saudara?

“Tahukah Ketua Pemuda Pas Batu bahawa para pemimpin Pas yang turun bantu Dr Wan Azizah pada masa itu majoritinya sekarang dalam kepimpinan utama Amanah?

“Bila Presiden Pas tak setuju Dr Wan Azizah jadi ketua pembangkang dan kritik pula kononnya Dr Wan Azizah tidak layak, adakah itu bukan ‘kawan makan kawan’ ke saudara?

“Bila Pas sanggup hantar hanya nama calon daripada Pas sahaja kepada YM Sultan untuk ditabal jadi MB Selangor dalam krisis MB Selangor, tidakkah itu juga tergolong dalam ‘kawan makan kawan’?” soal Hanipa dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Islam mengulas ucapan Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzan pada Konvensyen Nasional Amanah, Sabtu lalu, yang mencadangkan agar kerusi PKR kawasan Batu disandang Tian Chua diberikan kepada Amanah sekiranya beliau tidak yakin pembangkang boleh menang di kawasan itu dalam PRU14.

Mohamed Hanipa yang juga Pengerusi Kanun Amanah Nasional berkata, apa yang disebut oleh Sany masih belum berlaku sedangkan semua peristiwa yang beliau nyatakan sudah pun berlaku.

“Wahai saudaraku Ketua Pemuda Pas Batu ingatlah ‘Al yaqin la yadzulu bishakk,” ujarnya.

TAGS