Ke mana pergi lebihan RM9 bilion  projek ECRL?

Ke mana pergi lebihan RM9 bilion projek ECRL?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Pemuda Amanah Nasional mempersoal apa yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lakukan dengan lebihan kos mencecah RM9 bilion dalam Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur atau East Coast Rail Link (ECRL).

Naib Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, Najib perlu menjelaskan perbezaan kos berkenaan memandangkan pihak China Communications Construction Company Limited (CCCC) mengumumkan kos projek mega itu adalah RM46 bilion.

“Najib perlu tampil jelaskan, bagaimana boleh berlaku perbezaan hingga RM9 bilion terhadap projek yang sama? Najib juga perlu jawab, apa yang mahu beliau lakukan dengan lebihan RM9 billion tersebut?” soalnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Najib dalam lawatan enam hari ke China baru-baru ini mengumumkan kerajaan akan membina projek ECRL bernilai RM55 bilion tetapi laman web CCCC menyebut pihaknya telah menandatangani kontrak projek yang sama berjumlah RM46 bilion.

Mengulas lanjut, Shazni turut membangkitkan kemungkinan lebihan wang itu masuk ke dalam akaun Najib seperti yang berlaku dan diakui sendiri Presiden Umno itu dalam isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kalau ada kos terselindung, Najib wajib terangkan secara terperinci RM9 billion untuk apa dan justifikasi ‘mark-up’ hingga sebanyak itu?!

“Kalau wang tersebut masuk ke akaunnya (Najib) seperti mana kes RM2.6 bilion yang telah pun beliau akui, lebih baik mengambil sikap mengaku awal sebelum satu dunia dikejutkan dengan satu lagi siri rasuah politik berskala mega,” bidasnya lagi.

Projek ECRL sepanjang 600 kilometer yang menggunakan dana dari China itu adalah antara 14 perjanjian perniagaan dengan cadangan pelaburan mencecah sebanyak RM144 bilion atau AS$35.91 bilion.

TAGS