Keadaan Hanipa semakin baik, boleh bernafas tanpa alat bantuan

Keadaan Hanipa semakin baik, boleh bernafas tanpa alat bantuan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Keadaan kesihatan Ahli Parlimen Sepang Mohamad Hanipa Maidin semakin baik dan kini boleh bernafas tanpa bantuan alat pernafasan.

Menurut isteri beliau Rohani Rohmat, Hanipa kini berada dalam keadaan stabil, boleh menggerakkan anggota badan dan ingatannya juga kembali pulih apabila dapat mengenali saudara mara dan sahabat handai yang datang menziarahinya.

Ketika ditemui Malaysia Dateline di wad rawatan rapi Jabatan Neurologi Hospital Kuala Lumpur, Rohani berkata pegawai perubatan yang merawat Hanipa juga berpuas hati dengan perkembangan kesihatan beliau dan kini sedang memantau tekanan darah Pengerusi Kanun Amanah itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan suaminya juga kepada mereka yang menziarahi Hanipa sejak dimasukkan ke hospital Isnin lalu.

Hanipa pengsan di Dewan Rakyat petang 4 April lalu ketika sidang dewan berhenti rehat dan dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau kemudiannya dipindahkan ke wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi rawatan selanjutnya.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Amanah itu dibawa keluar dari persidangan Dewan Rakyat ketika perbahasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai Rang Undang-Undang Syarikat 2015.

Pegawai perubatan parlimen memaklumkan Hanipa muntah-muntah dan tekanan darah peguam itu melonjak tinggi mencecah 250/110.

TAGS