Kebakaran maahad tahfiz ke-212 bagi tempoh 2015-2017

Kebakaran maahad tahfiz ke-212 bagi tempoh 2015-2017

Tragedi kebakaran di sekolah-sekolah agama dan tahfiz yang sering berulang perlu diatasi segera memandangkan rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan sejumlah 211 kebakaran membabitkan pusat pengajian tahfiz berlaku di seluruh negara di antara tahun 2015-2017.

Malah kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah adalah kes kebakaran yang ke-212 dengan meragut 25 nyawa.

Sehubungan itu, Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan media mengalu-alukan kesediaan Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi bantuan menguruskan jenazah mangsa yang terlibat serta kaunseling kepada keluarga mangsa dan para pelajar yang terselamat.

Beliau turut menyambut baik kesediaan Kerajaan Negeri Selangor untuk memeriksa kesemua pusat-pusat pengajian tahfiz dan sekolah-sekolah agama di Selangor demi memastikan piawaian ‘amalan terbaik’ keselamatan dan kesihatan dipatuhi.

{loadposition myposition}

“Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur yang meragut nyawa 23 pelajar dan 2 orang warden adalah sebuah tragedi yang amat memilukan dan menyayat hati. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan warga Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

“Saya telah mengunjungi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan diberi taklimat oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Dr. Asyraf Wajdi,” ujarnya.

Dr Wan Azizah menambah, kini bukanlah masa untuk menuding jari mencari salah dan silap malah setiap pihak perlu bersama menghulurkan tangan memberi bantuan dan sokongan kepada waris mangsa serta para pelajar yang terselamat.

“Kita harus bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi memastikan tragedi seumpama ini tidak akan berulang kembali di negara ini.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar keluarga mangsa dan warga Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi musibah ini.  Semoga roh para pelajar dan warden yang terkorban diberi keampunan, kerahmatan dan kesejahteraan oleh Allah SWT,” ujarnya.

Dr Wan Azizah membaca surah Yaasin ketika melawat tempat kejadian.

CATEGORIES
TAGS