Kebakaran pusat tahfiz: Kertas siasatan diserah ke pejabat Peguam Negara

Kebakaran pusat tahfiz: Kertas siasatan diserah ke pejabat Peguam Negara

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kertas siasatan tujuh remaja yang didakwa terlibat dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa pada 15 Mei lalu, telah diserahkan kepada Peguam Negara, pagi ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan kes tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

“Polis sudah menyerahkan kertas siasatan dan menunggu arahan selanjutnya daripada pejabat Peguam Negara. Jadi kita tunggu arahan (Peguam Negara), apa bentuk tindakan dan pertuduhan terhadap mereka itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini sebentar tadi sempena lawatan rasminya ke kontinjen ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed; Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid.

Dalam kejadian 15 September lalu, sebanyak 23 penghuni asrama pusat tahfiz tersebut terkorban selepas dibakar sekumpulan tujuh remaja termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun.

Tujuh suspek terbabit masih dalam tahanan reman sehingga 29 September depan. –

 

CATEGORIES
TAGS