Kedai nasi ala Kak Wok di Kedai No 33

Kedai nasi ala Kak Wok di Kedai No 33

Kedai Nasi No 33 di Pusat Perdagangan Selasih dekat Gombak  adalah sebuah restoran makanan yang menyediakan hidangan “Nasi Kak Wok” yang amat popular di Kota Bahru, Kelantan.

Walaupun ia bukan citarasa asal Nasi Kak Wok dari Kota Bahru itu, namun bagi orang Kelantan dan warga kota yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor boleh merasai makanan yang disediakan di kedai itu.

Nasi ala Kak Wok di kedai No 33 hanya satu menu sahaja.Pemiliknya Fauzi Talib berkata, beliau memperoleh resipi nasi Kak Wok ini daripada bekas tukang masak Kak Wok sendiri.

Perniagaan yang dibuka seawal jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang itu menyediakan satu jenis hidangan sahaja iaitu nasi putih kukus bersama gulai ayam, potongan ayam goreng, kuah cili dan timun sahaja.

Ketika berkesempatan singgah di Kedai Nasi 33 yang istimewanya makanan ini tidak dihidangkan di dalam pinggan tetapi hanya mengunakan kertas pembungkus.

“Dulu Nasi Kak Wok guna kertas surat khabar di alas plastik sahaja. Saya masih kekalkan cara lama itu dengan guna kertas bungkus makanan.

“Ini konsep ‘makan dan buang’ dan lebih mudah bagi peniaga dan di kalangan mereka yang mahu bawa pulang untuk makan di rumah atau di pejabat,” ujarnya ketika ditemui Malaysiadateline di Pusat Perdagangan Selasih, Gombak.

Nasi Kak Wok yang dihidangkan di Kedai No 33 ringkas kerana kita tidak ada pilihan lauk pauk atau sayur-sayuran.

Hasilnya, sudah tentu selera kurang tertarik apatah lagi makan nasi bungkus di sebuah kedai makan bukannya ‘take away’ seperti kebiasaan bila makanan berbungkus.

Pelanggan mula beratur di kedai ini mulai jam 12 lagi.Namun apabila merasai makanan yang hanya berlaukkan potongan ayam dicincang kecil dimasak gulai berempah, kuah cili dan hirisan timun,  buat pertama kalinya ‘boleh tahan’ juga rasanya, cukup kenyang.

Pembuka selera kepada masakan ini adalah kuah cili yang menambah rasa kepada gulai ayam itu.

Kedai ini penuh dengan pelanggan seawal jam 12 tengahari lagi.

Berbaloi dengan harga hanya RM5.50 sebungkus dan keistimewaannya adalah makanannya tahan lama untuk disimpan jika anda sibuk dengan kerja seharian dan boleh dimakan di waktu tengahari atau petang nanti.

Ditanya apa rahsia mengekalkan makanan berbungkus dalam masa yang lama, Fauzi enggan mendedahkan katanya “biarlah rahsia”.

Apapun dengan mengunakan teknik memasak yang betul akan dapat mengekalkan rasa dan mengelak makanan mudah basi jika dicampur dalam satu bungkusan seperti yang dilakukan Kedai Nasi No 33.

Bagi anda yang mahu cuba citarasa pantai timur dan ingin ingin membuat tempahan, bolehlah melayari instragram dan facebook Kedai Nasi No 33 ini.

TAGS