Keganasan persepsi melalui pembunuhan karektor boleh gugat negara

Keganasan persepsi melalui pembunuhan karektor boleh gugat negara

 

 

 

 

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 Datuk Seri Dr Salleh Said Kruak Keganasan persepsi yang berleluasa kini melalui pembunuhan karakter, boleh menggugat kestabilan dan keselamatan negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata penularan gejala itu boleh mencetuskan keadaan panik serta huru-hara kerana ia menjejaskan kepercayaan serta keyakinan terhadap seseorang individu.

Tumpuan kepada pembunuhan karakter itu adalah berlandaskan kepentingan politik dan organisasi semata-mata, melibatkan penyalahgunaan Internet dan media sosial bagi menimbulkan fitnah, emosi, provokasi, menghasut secara keterlaluan yang terkeluar dari ruang lingkup pemikiran waras serta rasional.

“Keadaan ini menimbulkan ketidaksefahaman, syak wasangka, pergeseran sehingga membawa kepada perpecahan ummah yang mampu menggugat kestabilan dan keselamatan negara,” katanya semasa merasmikan forum Bicara Persada di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Bertajuk ‘Keganasan Persepsi: Cabaran Terhadap Perpaduan Ummah’, forum itu menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Setiausaha Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat Dr Khairuddin Aman Razali, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM Prof Datuk Dr Noor Aziah Mohd Awal, Setiausaha Majlis Perundingan Melayu Datuk Dr Hassan Mad dan Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar UKM Muhammad Farhan Khairuddin.

Salleh berkata walaupun banyak pencerahan telah dibuat namun situasi itu tetap berlaku kerana masyarakat lebih cenderung mempercayai apa yang tersebar atau viral di laman-laman sosial.

“Pengaruh keganasan persepsi dilihat menjadikan rakyat keliru bila menterjemahkan hak kebebasan demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.

“Dalam situasi ini, pemikiran rasional tanpa sekatan atau had adalah diutamakan kerana mereka tidak menimbang tentang tanggungjawab terhadap hubungan seseorang individu kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh berharap forum yang menampilkan tokoh dari pelbagai latar belakang itu dapat menghasilkan dan memberikan kefahaman untuk pelaksanaan pendekatan-pendekatan strategik dalam menangani pengaruh keganasan persepsi.

TAGS