Keganasan terhadap wanita meningkat, Awan Nasional lancar kempen

Keganasan terhadap wanita meningkat, Awan Nasional lancar kempen

Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Nasional berazam akan terus melaksanakan kempen kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat bagi memerangi semua bentuk kekerasan dan keganasan terhadap wanita.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Nasional berazam akan terus melaksanakan kempen kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat bagi memerangi semua bentuk kekerasan dan keganasan terhadap wanita.

Ketua Awan Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kempen ini akan diteruskan sehingga falsafah martabat dan hormat wanita benar-benar difahami masyarakat.

Bagi memulakan kempen ini, Awan Nasional akan mengadakan Majlis Pelancaran Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita (Stop Violence Against Women @VAW) pada 13 Mac ini di GM Klang Wholesale City pada jam 2 petang.

Menurut beliau, beberapa acara menarik seperti slot Bual Bicara Bersama Peguam yang berpengalaman serta perkongsian Dari Hati Ke Hati Wanita yang pernah melalui pengalaman pahit akan diadakan.

“Kita juga akan membuat Pengumuman Khas “Pelancaran Hari Oren Se-Malaysia” bersempena kempen tersebut nanti.

“Awan Nasional menjemput semua sahabat kami khususnya wanita seluruh negara terutamanya yang tinggal berhampiran lokasi majlis untuk turut serta menjayakan program ini,” kata beliau pada sidang media di lobi parlimen sempena sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini.

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, Awan Nasional sangat bimbang terhadap statistik kes keganasan rumah tangga sepanjang Januari hingga Ogos 2015 yang mencatatkan 3,334 jumlah keseluruhan kes di seluruh negara, dengan 2,528 kes membabitkan wanita sebagai mangsa.

“Lebih membimbangkan apabila mutakhir ini para pelaku keganasan terbabit tanpa segan silu melakukan aktiviti ganas mereka di tempat terbuka dan premis awam. Mereka seolah-olah tidak ada langsung perasaan malu dan takut,” katanya yang juga ahli parlimen Kota Raja.

Dalam pada itu, Awan Nasional turut menyatakan komitmen dalam perjuangan bagi menghentikan keganasan ke atas wanita di peringkat antarabangsa dengan menyatakan solidariti kepada gerakan Mesir Kini yang sedang memperjuangkan isu pencabulan hak wanita Mesir oleh regim kudeta Mesir.

“Awan Nasional akan menghantar satu memorandum bantahan kepada kedutaan Mesir di Malaysia bagi mendesak keganasan ini dihentikan segera.

“Awan Nasional mendesak agar Kerajaan Mesir pada hari ini membebaskan kesemua mangsa tahanan politik terutamanya tahanan wanita secara serta merta,” tegasnya.

Sementara iu ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad pada sidang media yang sama membidas kenyataan sesetengah pihak yang menyifatkan sambutan hari wanita sebagai feminis dan liberal.

Sebaliknya beliau berkata, sambutan ini adalah salah satu cara untuk mengingati wanita.

“Ada yang mengatakan bahawa sambutan hari wanita sedunia ini merupakan budaya yang tak terdapat dalam Islam, Islam tak menganjur sambutan hari wanita sedunia, ini agenda feminis liberalis… itu satu tuduhan yang melulu. Ini adalah antara cara-cara mengingatkan kita supaya melayani wanita sewajarnya,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah pula berkata, pihak berkuasa perlu menyelami tanggung jawab seorang wanita sebelum menjatuhkan sebarang hukuman.

Beliau merujuk kejadian pada 2 Mac lalu, seorang ibu S. Sellamah, 36, yang dihukum denda RM200 dan penjara sehari oleh Majistret kerana mencuri sepeket Milo bagi anaknya berumur dua tahun baru-baru ini.

“Ada seorang wanita lain yang tolong membayar denda. Sepatutnya pihak berkuasa perlu memahami masalah yang dihadapi wanita tersebut sebelum menjatuhkan hukum.

“Inilah yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan, bukan hanya mengucapkan selamat hari wanita sahaja,” katanya.

TAGS