Kehadiran Hadi ke Tehran mewakili Pas, kata Dewan Ulama

Kehadiran Hadi ke Tehran mewakili Pas, kata Dewan Ulama

Kehadiran Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Muktamar Tahunan Perpaduan Ummah kali ke-30 di Tehran mewakili parti itu, kata Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Kehadiran Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Muktamar Tahunan Perpaduan Ummah kali ke-30 di Tehran mewakili parti itu, kata Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau menegaskan, dalam penglibatan apa sahaja forum antarabangsa, Pas mempunyai pendirian politik tersendiri terhadap sebarang krisis yang berlaku di Timur Tengah termasuk melibatkan Syria, Yaman, Irak dan Palestin.

“Pendirian tersebut sama sekali tidak akur atau tunduk kepada sebarang kepentingan mana-mana pihak yang melakukan kezaliman dan penindasan. Malah Pas sentiasa bersuara lantang bersemuka dengan golongan yang zalim dan menindas.

“Pas bersatu hati dengan seluruh umat Islam menentang sebarang bentuk kezaliman, pencerobohan hak asasi manusia dan pembunuhan yang menumpahkan darah golongan yang tidak berdosa di kalangan umat Islam dan juga bukan Islam.

“Pas menegaskan bahawa apa yang berlaku di Syria adalah mangsa peperangan proksi yang bertujuan merobekkan kesatuan ummah dan penguasaan oleh kuasa asing di kawasan bergolak.

“Kuasa asing tersebutlah yang berdiri di belakang tabir kumpulan pengganas yang dibiayai dengan kewangan yang besar dan senjata pemusnah, seumpama ISIS yang merosakkan nama baik Islam yang sebenar.

“Mereka menyalakan api persengketaan antara puak agar umat Islam terus bertelingkah dan berperang sehingga menumpahkan darah dan berkrisis tanpa henti. Akhiran ini pula berlaku serangan pengganas yang mensasarkan Turki agar terbuka satu lagi lembaran darah yang baru,” ujarnya dalam satu kenyataan dalam lidah rasmi parti itu.

Dr Khairuddin Aman Razali Justeru katanya lagi, kehadiran Abdul Hadi di muktamar tersebut sebagai salah seorang pembentang adalah bertujuan menegaskan prinsip dan pendirian tersebut.

“Sebelumnya beliau mewakili Pas memainkan peranan bagi meredakan ketegangan pada awal krisis Yaman di zaman Presiden Abdullah Soleh, sesuatu yang mungkin tidak diketahui oleh orang ramai.

“Sebagai makluman, muktamar tersebut diadakan secara tahunan di Teheran sejak 80-an.

“Penglibatan Tuan Guru Hj Hadi merupakan penyertaan tahunan sejak puluhan tahun. Ia juga disertai setiap tahun oleh wakil Hamas dan tokoh-tokoh terkenal seperti Ustaz Oghuzan Asilturk, Ketua Majlis Syura Parti Saadat di Turki, Dr Kamal Halbawi, Presiden Pengasas Rabitah Islam di Britain, Syeikh Tajuddin Hamid Abdullah al-Hilaali, bekas Mufti Australia dan Syeikh Mustafha Cherits, Mufti Agong Bosnia Hezergovina.

“Barangkali mereka yang mengecam penglibatan Tuan Guru Hj Abdul Hadi dalam muktamar terbabit tidak menyedari permainan dan fitnah media massa dan media sosial moden yang menghiasi kebatilan dengan kebenaran dan menukar kebenaran menjadi kepalsuan, yang menular dalamnya pelbagai sangkaan dan persepsi sedang “persepsi itu sedikit pun tidak boleh menggantikan kebenaran”.

“Barangkali juga mereka leka dengan penguasaan media massa gergasi antarabangsa dalam mempengaruhi pandangan awam dunia ke arah yang mereka mahu dan mengawal pandangan umum,” ujarnya.

Beberapa hari lalu Abdul Hadi yang juga Naib Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Kuis) dikecam oleh beberapa pihak sejak kunjungannya ke Tehran.

Tindakan Abdul Hadi itu turut ditempelak Presiden Kuis Dr Yusuf al-Qadrawi dalam satu kenyataan berkata kunjungan itu dilakukan ketika mazhab Syiah dan Sunni berperang dan dianggap kunjungan itu tidak boleh diterima dikalangan pimpinan Kuis.

Artikel berkaitan : Hadi pertahan kunjungannya ke Iran

 

TAGS