Kekalkan diskaun 10 peratus lebih baik, kata Pemuda Amanah Selangor

Kekalkan diskaun 10 peratus lebih baik, kata Pemuda Amanah Selangor

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Amanah Negeri Selangor berpendapat adalah lebih baik kerajaan mengekalkan diskaun 10 peratus untuk bumiputera bagi pembelian pangsapuri perkhidmatan, rumah pejabat (SOHO) dan pejabat maya di rumah (SOVO).

“Kami menyambut baik dan menghargai usaha kerajaan negeri menurunkan harga jenis pembangunan ini di bawah konsep ‘mampu milik’.

“Namun begitu, kami melihat jika dikekalkan diskaun 10 peratus bumiputera kepada jenis pembangunan komersial, adalah lebih baik bagi memberi galakan kepada bumiputera memiliki premis tersebut,” ujar Ketuanya, Abbas Azmi dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan kerajaan negeri supaya menambah baik skim perumahan mampu milik Selangorku serta skim pembiayaan perumahan supaya lebih mesra kepada golongan muda di negeri itu.

“Skim perumahan mampu milik Selangorku perlu diperbanyakkan lagi bagi memenuhi permintaan yang tinggi pada ketika ini. Hebahan berkenaan tawaran skim ini perlu diperluaskan lagi.

“Rumah jenis kos rendah, kos sederhana rendah dan kos sederhana amat diperlukan oleh anak muda memandangkan ia mampu dimiliki,” katanya.

Pada masa sama, ujar Abbas, bajet untuk skim pembiayaan sewa dan beli ditambah sebagai bukti program merakyatkan ekonomi yang telah diperkenal oleh kerajaan negeri Selangor.

Perluasan konsep sewa dan beli ini perlu memandangkan rizab kerajaan negeri Selangor telah mencapai RM4 bilion dan merupakan satu pencapaian cemerlang berbanding negeri lain.

“Pada ketika ini, negara sedang menghadapi ketidaktentuan ekonomi hasil daripada kelemahan pemimpin Umno-BN yang menyebabkan anak muda bertungkus-lumus menjalani kehidupan seharian.

“Bagi yang mempunyai pinjaman PTPTN dan pinjaman pembiayaan pendidikan yang lain mereka dipaksa dan terpaksa membayar balik pinjaman tersebut. Kesan daripada itu, ramai anak muda tidak mampu untuk mendapatkan pinjaman perumahan dari bank,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Abbas berkata, pihakya bersedia untuk bersama-sama kerajaan negeri untuk menyampaikan maklumat berkenaan skim perumahan terbabit kepada masyarakat khususnya anak muda.

“Kami Pemuda Amaah negeri Selangor sentiasa bersama dengan kerajaan negeri bagi memastikan rakyat khususnya anak muda merasai nikmat pembangunan di negeri ini,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan pemansuhan diskaun 10 peratus untuk bumiputera bagi pembelian ketiga-tiga jenis premis komersial berkenaan berkuatkuasa 1 September lalu.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mengenakan syarat mengikut kaum bagi membolehkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana tanpa mengira kaum mempunyai keupayaan memiliki hartanah sendiri.

TAGS