Kelantan digesa hentikan segera projek ladang hutan

Kelantan digesa hentikan segera projek ladang hutan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) mendesak kerajaan negeri Kelantan supaya menghentikan projek ladang hutan di dalam hutan simpan pada kadar segera.

Presidennya, Hafizzuddin Nasarudin berkata, pembalakan melalui pembukaan ladang hutan secara besar-besaran di dalam hutan simpan adalah satu aktiviti yang memusnahkan alam sekitar dalam skala besar.

“Pembukaan ladang hutan memerlukan pembalakan secara tebang habis, lalu memusnahkan habitat hidupan liar serta mengurangkan fungsi hutan sebagai pencengkam tanah, pengawal suhu dan kawasan tadahan air.

“Turut berlaku, pencemaran sungai, menghapuskan bekalan makanan, ubatan dan 1,001 macam faedah lagi termasuk sumber kehidupan orang Asli,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pemilihan tanah atau kawasan untuk tujuan perladangan dan pembangunan harus dilakukan secara teliti dengan konsultasi menyeluruh bersama pakar dan penduduk tempatan.

“Dalam isu pembukaan ladang, kita yakin tanah negeri Kelantan masih lagi luas terutamanya bagi tanah-tanah yang berisiko rendah serta miskin daripada spesis-spesis biodiversiti.

“Harus tanah miskin tersebut diutamakan dahulu daripada terus menarah hutan simpan yang kaya nilai harganya untuk maslahat semua orang.

“Ini semua pilihan lestari dan terbaik yang sepatutnya mampu diambil oleh pihak kerajaan negeri yang berkuasa dalam hal ehwal tanah dan hutan,” tegasnya.

Mengulas pergantungan lesen pengurusan hutan oleh Majlis Pensijilan Kayu Balak Malaysia (MTCC), beliau berkata, ‘selera’ kerajaan negeri Kelantan yang gemar membuka hutan ladang ini antara faktor pergantungan tersebut.

“KUASA tidak menolak fakta bahawa pembalakan adalah salah satu sumber kewangan kerajaan negeri.
KUASA juga tidaklah anti pembangunan.

“Namun, segala aktiviti harus dilakukan secara lestari. Misalnya, pembalakan lestari yang memerlukan pensijilan berkenaan, antara kriteria penting adalah penebangan pokok perlu dilakukan secara selektif iaitu pokok ibu yang menghasilkan benih dibiarkan serta hanya pokok berdiameter 30 hingga 60 cm ke atas boleh ditebang dengan ditanda terlebih dahulu oleh Jabatan Perhutanan.

“Pokok yang berada di kecerunan lebih daripada 45 darjah dan tinggi melebihi 1,000 meter dari paras laut tidak boleh ditebang kerana memerlukan kajian impak sosial,” kata Hafizzuddin.

Paling penting, jelasnya, mengelak kawasan sensitif alam sekitar atau koridor hidupan liar daripada dimusnahkan dan memastikan tiada pihak yang terjejas sama ada dalam jangka masa pendek ataupun panjang terutama bagi penduduk tempatan.

Sehubungan itu, pihaknya memohon kerajaan negeri Kelantan bermuhasabah dan menilai kembali kesilapan mereka ekoran penggantungan sijil pengurusan hutan negeri itu.

“Lakukan reformasi yang menyeluruh dalam pengurusan alam sekitar negeri. KUASA tegas mengatakan bahawa projek ladang hutan di dalam hutan simpan perlu segera dihentikan,” tambahnya lagi.

Tidak diiktiraf

Pembalakan rakus di Kelantan terbukti apabila Majlis Pensijilan Kayu Balak Malaysia (MTCC) menggantung sijil pengurusan hutan yang lestari. Dalam perkembangan berkaitan, laman web MTCC pada 21 Mac lalu memaklumkan Sijil Pengurusan Hutan yang diberikan kepada Unit Pengurusan Hutan Negeri Kelantan (FMC 005) diganti apabila didapati telah melanggar Kriteria dan Indikator untuk Sjil Pengurusan Hutan – MC&I (bagi kategori Hutan Asli).

Pergantungan telah berkuatkuasa bermula 11 Mac 2016 sehingga tarikh yang akan diberitahu selepas diputuskan oleh SIRIM QAS Sdn Bhd apabila Unit Pengurusan Hutan Negeri Kelantan gagal membuat penambahbaikan dalam Permintaan Langkah Pembetulan (Correction Action Request) berdasarkan audit pengawasan kedua yang dikendalikam oleh SIRIM QAS INTERNATIONAL SDN BHD.

Menurut kenyataan itu lagi, semua kayu balak yang dikeluarkan daripada Hutan Simpan Kekal (HSK) di bawah Unit Pengurusan Hutan Negeri Kelantan bermula daripada 11 Mac 2016 tidak akan diiktiraf sebagai Pengurusan Lestari (PEFC) di bawah Skim Pensijilan Kayu Balak Malaysia (Malaysian Timber Certification Scheme – MTCS).

TAGS