Kelantan syukur Husam sertai Amanah, sambut kepulangan bagai wira

Kelantan syukur Husam sertai Amanah, sambut kepulangan bagai wira

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kelantan melahirkan rasa syukur dengan pengumuman Adun Salor Datuk Husam Musa menyertai parti itu semalam.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kelantan melahirkan rasa syukur dengan pengumuman Adun Salor Datuk Husam Musa menyertai parti itu semalam.

Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Muhamad Hussin berkata, kemasukan Husam diharap mampu memberi perubahan besar kepada perubahan politik di negeri itu.

“Kita yakin dengan kemampuan yang beliau ada pengalaman yang beliau lalui, hasrat Amanah untuk ambil pemerintahan Kelantan sekaligus menghalang daripada dirampas Umno, akan dapat dicapai,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau ditemui selepas majlis Makan Malam Ambang Merdeka di Cyberjaya yang menyaksikan Husam mengumumkan menyertai Amanah selepas lebih empat bulan dipecat daripada Pas.

Menurut Muhammad, Amanah negeri sudah membuat perbincangan awal berhubung tugas Husam dalam mencapai hasrat itu termasuk strategi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Untuk permulaan kepada gelombang ini katanya, kepulangan Husam pada 1 September akan disambut di lapangan terbang sebelum menyertai konvoi ke Pasir Puteh.

“Beliau dijangka rasmi penubuhan 14 cawangan Amanah di Dun Limbongan pada hari sama.

“Satu lagi kita akan buat majlis pengisytiharan besar-besaran 16 September ini di Kelantan dan kemasukan beberapa kumpulan lagi bersama Husam,” katanya.

Mengulas lanjut Muhammad berkata kerajaan Pas yang ada hari ini sudah tidak mampu lagi memperjuangkan agenda rakyat Kelantan malah banyak pihak menjangkakan Kelantan akan jatuh kepada Umno ekoran sikap Pas itu.

“Kita nampak Pas di Kelantan sudah sampai masa kita ambil alih kerana pemerintahan sekarang sudah merosakkan Kelantan atas nama Islam.

“Boleh dikatakan sudah syarie dan ada kewajipan untuk ambil alih pemerintahan Kelantan daripada Pas ini,” katanya.

Mengulas kemungkinan sama ada jawatan tertentu akan diberikan kepada Husam, Muhammad bagaimanapun berkata itu terpulang kepada perbincangan Amanah Nasional.

TAGS