Kelemahan tadbir urus pondok, pusat tahfiz di negara ini penyebab takdir berlaku

Kelemahan tadbir urus pondok, pusat tahfiz di negara ini penyebab takdir berlaku

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berpandangan kekerapan pondok dan pusat tahfiz di negara ini sering berlaku kejadian kebakaran dan kemalangan membabitkan pelajar disebabkan kelemahan tadbir urus.

Tanpa mahu mempersoalkan sebab musabab kepada tragedi menyayat hati yang berlaku membabitkan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat baru-baru ini, beliau berkata, MDN mengambil sikap tidak mahu terlibat dalam polimik salah menyalah antara satu sama lain di atas peristiwa berlaku,

“Saya percaya ianya terjadi hasil dari kesilapan kita semua umat Islam di negara ini seluruhnya tidak terkecuali siapa dan apa kedudukannya dalam masyarakat.

“Peristiwa seperti ini boleh dikatan sentiasa berlaku walau pun kadang-kadangnya dalam format yang berbeza. Paling acap ialah kebakaran. Selainnya ialah kematian atau kecederaan pelajar akibat tindakan tata tertib.

“Mengapa hanya di pondok sahaja berlaku dan tidak di institusi lain?. Tentunya ia bukan kerana takdir semata- mata tetapi hasil tadbir yang menjadi sebab musabab kepada berlakunya takdir berkenaan.

“Ia adalah hasil kesalahan tadbir kita semua yang mendedahkan diri kita kepada terlaksananya takdir yang dijanjikan oleh Allah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu katanya, MDN merayu kepada umat Islam seluruhnya di negara ini agar bersama meningkatkan nilai tadbir masing masing dalam segala hal yang berkait dengan urusan hidup mereka dan tidak sekadar menyerahkan kepada takdir semata mata sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang menyuruh para sahabat Baginda menambat unta mereka terlebih dahulu dan kemudian baru berserah kepada taqdir.

“Kepada keluarga mangsa, MDN hanya mampu berkata, kita semua adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya lah kita semua akan kembali.

“Bagi pihak MDN saya mengucapkan takziah kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya keluarga pondok tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah istimewa sekali kepada individu dan keluarga mereka yang mengalami secara langsung akibat dari kebakaran pondok berkenaan.” ujarnya.

Dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 14 September lalu di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur mengakibatkan 24 orang terbunuh dan tujuh pelajar tercedera.

Siasatan polis mengklasifikasikan punca  kebakaran berlaku  daripada perbuatan khianat membabitkan tujuh suspek di bawah umur yang kini masih lagi disambung tahanan reman mereka.

CATEGORIES
TAGS