Keluh penjual nasi campur: ‘Budak pejabat pun bukan makan sangat’

Keluh penjual nasi campur: ‘Budak pejabat pun bukan makan sangat’

Beban kenaikan kos sara hidup pada masa ini menyaksikan bukan sedikit golongan muda terpaksa mengikat perut ketika di tempat kerja.

Beban kenaikan kos sara hidup pada masa ini menyaksikan bukan sedikit golongan muda terpaksa mengikat perut ketika di tempat kerja.

Situasi ini diakui peniaga nasi campur di ibu negara apabila sebahagian pembelinya mengambil juadah tengah hari dengan kuantiti dan pilihan menu yang amat terhad.

Faridah AbdullahFaridah Abdullah, 52, berkata, timbul keadaan serba-salah baginya antara menaikkan harga jualan atau kehilangan pelanggan ketika kos bahan mentah semakin melambung.

“Zaman Najib sekarang, (harga) barang makin mahal. Bahan mentah yang kita beli pun sudah mahal. Sotong, udang jangan cakaplah (mahal). Jadi, kita terpaksa naikkan harga.

“Tapi, mereka (pelanggan) ‘bising’ pula bila harga lauk sudah jadi macam mampu tengok. Bila kita naikkan 50 sen, esok lusa mereka tak datanglah.  

“Orang yang hendak membeli pun kurang. Budak pejabat pun bukan makan sangat. Hanya ambil nasi, ikan atau ayam goreng dan sikit sayur. Agaknya mahu berjimat,” ujarnya yang berniaga di Keramat Permai.

Beliau ketika ditemui di Pasar Chow Kit baru-baru ini memberitahu trend itu ketara pada dua fasa iaitu selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan sekali lagi pada tahun lalu ekoran kenaikan harga petrol.

Sehubungan itu, jelasnya, golongan peniaga kecil sepertinya memang merasai tempias lonjakan kadar inflasi yang mencecah 4.5 peratus seperti yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

“Saya tidaklah tahu sangat tentang inflasi. Apa yang saya lihat nilai duit kita sudah tidak macam dulu lagi. Dengarnya peniaga di sempadan tanah air lagilah tertekan bila ringgit kita jatuh teruk berbanding Bath,” katanya.

Jelas Faridah, harga makanan yang dikenakannya buat masa ini sudah tidak dapat dikurangkan lagi lantaran perlu mengambil kira kos.

“Biasa saya letak harga RM5.50 kalau (pelanggan) letak nasi, ikan goreng dan sayur. Campur air jadi RM6.50. Kalau naikkan (harga) sikit, orang tak datang. Macam ayam goreng seketul, dulu RM3.50, sekarang jadi RM4,” katanya lagi.

Rakyat sengsara

Hasnah RahmanHal sama turut diakui peniaga nasi campur di Chow Kit, Hasnah Rahman, 57. Beliau memberitahu golongan peniaga kecil sepertinya dan pembeli yang berpendapatan rendah lebih terhimpit dengan lambungan kos sara hidup mutakhir ini.

“Bulan lepas harga sayur, ikan semua naik. Ikan kembung biasa RM14 sekilogram sekarang RM16 hingga RM17. Macam saya yang berniaga ini, sekarang bawa RM200 tidak cukup,” katanya.

Hasnah menganggap orang ramai sebenarnya tertekan dan semakin sukar berbelanja untuk keperluan asas sekalipun ketika kerajaan sering mendakwa cakna dengan suara rakyat.  

“TV selalu cakap PM (Perdana Menteri) dengar rintihan rakyat. Tapi, kenapa barang makin mahal? PM dengar tapi rakyat sengsara,” keluhnya ketika ditemui Malaysia Dateline.   

Mengulas lanjut, Hasnah berkata pihaknya terpaksa menaikkan harga sepinggan hidangan lengkap makan tengah hari baru-baru ini ekoran kenaikan harga barangan makanan.

“Kalau nasi, ikan, sayur saya terpaksa jual RM6. Sebelum ini RM5 tapi pembeli mengeluh dan ada yang tidak lagi datang. Padahal, itu harga paling rendah kami boleh jual, tidak dapat rendah lagi,” ujar Hasnah lagi yang berasal dari Kelantan.

TAGS