Kemaskini urusan pentadbiran agama kata Mufti Perlis

Urusan pentadbiran agama negara ini perlu dikemaskini dalam beberapa isu berkaitan Islam dan kepentingan awam demikian pandangan Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Dalam status yang dimuat naik di laman sosialnya, beliau  secara terang menyentuh mengenai  reaksi tokoh-tokoh agama terhadap kenyataan G25 dan isu mengaitkan dengan kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Walaupun saya sendiri tidak setuju dengan beberapa kenyataan kumpulan G25 berkenaan, namun kemaskini urusan pentadbiran agama masih perlu dilakukan.

“Isu ‘privacy’ dan dosa peribadi itu ada asas perbincangannya dalam syarak, namun semua pihak hendaklah memahaminya dengan betul.

“Tidaklah boleh kita bersetuju dengan kenyataan ‘salah seorang’ yang menyebut minum arak itu sesuatu yang tidak wajar dipertikaikan seperti ‘zaman-zaman’ dahulu,” terangnya menyentuh mengenai kumpulan G25 yang mengeluarkan kenyataan mahu hukuman terhadap perbuatan khalwat dimansuhkan jika dilakukan di rumah persendirian baru-baru ini.

Kata beliau lagi, apa yang lebih menarik lagi ialah tidak kelihatan reaksi tegas tokoh-tokoh agama ketika ada pihak menyebut dokumen-dokumen penting sekalipun ada membabitkan kepentingan awam tidak boleh didedahkan.

“Akaun peribadi sekalipun dipersoalkan oleh awam tidak boleh didedahkan. Laporan-laporan siasatan penting kepada awam tidak boleh didedahkan. Sesiapa yang mendedahkan patut diambil tindakan. Tidak pula kedengaran dalil agama membantah hal ini.

“Mungkinkah atas alasan bersangka baik dalam harta awam tapi tidak dalam hal peribadi rakyat yang lemah

“Ramai orang agama marah bila pengintip khalwat diganggu tapi tidak menzahirkan marah apabila penyiasat kepentingan awam diganggu dan diambil tindakan.

“Lebih menarik lagi, ramai tokoh agama itu tidak kedengaran suara mereka ketika rakyat dihimpit kenaikan harga dan kos sara hidup yang tinggi. Bahkan ada yang sekadar menyebut ‘jangan pertikai, bersyukur dengan keadaan yang ada.

“Bimbang nanti ramai akan bertanya; apakah sebenarnya hakikat Islam itu? Soalnya.

TAGS