Kembali pada semangat Perjanjian Pakatan Harapan, seru Pemuda Amanah

Kembali pada semangat Perjanjian Pakatan Harapan, seru Pemuda Amanah

Pemuda Amanah Nasional menyeru kepimpinan Pakatan Harapan kembali pada kandungan dasar Perjanjian Pakatan Harapan yang telah dipersetujui bersama.

Naib Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, semua pimpinan daripada Amanah, PKR dan DAP perlu mengurus perbezaan pendapat tanpa menggugat permuafakatan politik yang telah sedia terjalin.

“Segala isu politik dan pertikaian dalaman perlu merujuk kepada Fasal 3 Perjanjian Pakatan Harapan yang jelas memberikan prosedur apa perlu dilakukan jika wujud krisis atau pertikaian melibatkan ketiga-tiga parti,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Menurut beliau, pihaknya yakin kesepakatan Amanah, PKR dan DAP mampu menjadi tempat untuk rakyat meletakkan harapan perubahan jika formula berkenaan menjadi keutamaan dalam tatacara penyelesaian konflik melibatkan kesemua parti dalam Pakatan Harapan.

“Di peringkat Pemuda, hubungan dan gerak kerja masih berlangsung baik. Kita komited untuk kedepankan perjanjian yang telah ditandatangani jika wujud apa sahaja isu politik atau pertikaian dalaman,” tegasnya.

Mengakui pembudayaan politik matang dengan mendahulukan kepentingan rakyat menempuh proses yang panjang, Shazni percaya keadaan tersebut boleh dicapai dengan tekad dan kesedaran diri masing-masing.

“Perubahan tidak lahir sekelip mata. Semua pihak yang bertanggungjawab untuk menggerakkan perubahan hendaklah membudayakan tatacara baru dalam berpolitik, bermula daripada diri mereka sendiri,” tambah Shazni lagi.

Untuk rekod, antara tujuh asas dalam Perjanjian Pakatan Harapan yang diisytihar pada 9 Januari lalu ialah sebarang perbezaan pendapat, percanggahan, ketidakpuasan hati atau bantahan dari satu parti terhadap parti sekutu perlu disuarakan mengikut saluran dalaman untuk diselesaikan secara bersama.

Selain itu, Pakatan Harapan juga hanya meletakkan satu calon bagi setiap kerusi dalam pilihan raya serta jawatankuasa pilihan raya bertanggungjawab menentukan agihan kerusi untuk ketiga-tiga parti.

TAGS