Kembalikan keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang

Kembalikan keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Hanya ada satu jalan untuk menyelamatkan lebih ramai orang seperti Mohd Shukri Saad, iaitu dengan mengembalikan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang bagi memastikan setiap orang yang melakukan kesalahan akan mendapat pengadilan yang sama sepertimana yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Demikian ucapan (MP DAP-Bukit Bendera) Zairil Khir Johari yang merujuk kepada kejadian bunuh diri Mohd Shukri Saad yang terjun dari jambatan kedua Pulau Pinang pada 26 November lalu.

Zairil berkata, dewan di mana undang-undang digubal bagi memastikan kesejateraan rakyat.

Tetapi ujarnya kejadian berlaku membabitkan Shukir Lahar Looi pemilik akaun facebook yang meluahkan isi hatinya terhadap tekanan hidup dihadapinya menujukkan institusi negara ini tidak lagi menjamin keadilan buat diri mangsa.

“Apabila dia membunuh dirinya kerana hilang kepercayaan terhadap fungsi dewan ini dan institusi negara ini untuk menjaminkan keadilan buat dirinya, maka jelas ia menjadi urusan paling mendasar kepada dewan ini.

“Setiap undang-undang yang diluluskan oleh dewan ini mendapat legitimasi melalui prosedur rasminya, yakni dari bacaan kali pertama sehingga ke pewartaan.

“Namun, kepatuhan terhadap undang-undang bukan sekadar datang daripada legitimasi secara prosedur (procedural), tetapi harus juga mendapat legitimasi moral daripada setiap rakyat yang percaya bahawa kepentingan mereka, baik sebagai masyarakat atau sebagai individu, diwakili dan dipelihara dalam setiap undang-undang yang diluluskan.

“Tanpa legitimasi moral ini, undang-undang tidak akan dilihat adil di mata orang ramai dan kepatuhan terhadap undang-undang ini tidak akan datang secara sukarela tetapi hanya secara paksaan. Tambah mengkhilafkan lagi apabila undang-undang itu dikuatkuasakan secara terpilih dan hanya memangsakan orang kebanyakan.

“Demikianlah dalam kes Mohd Shukri yang melihat undang-undang hanya ditegakkan terhadap orang kecil seperti dirinya. Dalam hal ini, kita perlu persoalkan sama ada ketegasan yang tidak berbeza telah ditunjukkan di sempadan-sempadan negara kita di mana berjuta-juta kotak rokok melepasi dengan mudah sehingga membanjiri pasaran dalam negara.

“Kita juga perlu persoalkan sama ada sistem dan institusi keadilan memiliki keberanian yang sama untuk mendakwa kes-kes yang berprofil tinggi dan membabitkan kemungkaran yang jauh lebih besar dan membinasakan. Atau adakah sesetengah orang yang ‘tibai berjuta-juta’ wang negara boleh dilepaskan dengan begitu sahaja walaupun bukti sudah pun jelas di hadapan mata rakyat, malahan mata dunia?” soalnya.

Zairil berkata peruncit-peruncit kecil yang menjual rokok seludup memang membawa kerugian dalam bentuk cukai kepada negara. Namun, hasil negara ujarnya, lebih banyak tiris bukan disebabkan oleh orang seperti Mohd Shukri tetapi kerana rasuah, penyelewengan dan salah urus yang kian berleluasa.

“Apakah kita hanya mampu bertindak terhadap Shukri Lahar Yooi tetapi tidak kepada individu yang dikenali sebagai MO1?

“Jangan kita berpura-pura mengabaikan gajah di dalam dewan ini kerana terlalu banyak kebobrokan yang telah berlaku akibat pengkhianatan terhadap keluhuran dan kedaulatan undang-undang negara kita semata-mata demi melindungi segelintir orang tertentu daripada pengadilan undang-undang,” ujarnya.

Dalam ucapannya Zairil juga membawa kisah pemuda yang bernama Mohamed Bouazizi dari Sidi Bouzid, Tunisia. Dia tidak berpelajaran tinggi dan tidak pernah mencapai kejayaan dalam apa-apa bidang, malah mungkin tidak mampu mengimpikan lebih daripada kehidupan kais pagi makan pagi.

“Namun dia akan selama-lamanya dikenang dunia kerana kematiannya pada tahun 2010 telah mencetus gelombang Arab Spring di serata bumi Arab dan membawa kepada kejatuhan pemerintahan berpanjangan rejim kuku besi di Tunisia, Libya dan Mesir.

“Kematian Mohamed Bouazizi di Tunisia telah membuka mata dan hati jutaan rakyat yang tertindas. Ada yang mungkin tidak setuju dengan kaedah yang dipilihnya, tetapi semua pasti lebih tidak setuju dengan penganiayaan terhadap orang kecil yang dicerminkan dalam peristiwa tersebut.

“Saya percaya tiada sesiapa di sini yang mahu pengalaman yang sama berlaku di negara kita sehingga membawa kepada kudeta yang akhirnya menghancurkan fabrik sosio-politik masyarakat kita. Sebaliknya, apa-apa perubahan politik sewajarnya dilaksanakan melalui jalan demokrasi yang sah.

“Oleh itu, sebagaimana Mohamed Bouazizi dari Sidi Bouzid membawa kesedaran kepada dunia Arab tentang ketidakadilan dan penindasan yang berlaku di bawah rejim kuku besi, biarlah pengorbanan Mohd Shukri dari Lahar Yooi menjadi iktibar kepada setiap seorang daripada kita ahli dewan yang mulia ini, lagi-lagilah yang memegang amanah jawatan pentadbiran.

“Saya yakin kita semua tidak mahu melihat seorang lagi pemuda mencabut nyawanya sendiri kerana kekecewaannya terhadap kegagalan negara untuk menjamin peluang kehidupan dan pelaksanaan undang-undang yang adil dan saksama. Dengan demikian, saya memohon agar kita menginsafi kegagalan kita untuk menjaga dan menegakkan amanah yang diberikan dan marilah kita sedekahkan bacaan ummul kitab, Al-Fatihah dan bertafakur atas pemergian Mohd Shukri – semoga Tuhan mengampuni dosa kita semua,” ujarnya.

TAGS