Kemelut FGV: Pemuda Umno ketinggalan keretapi, kata Mazlan

Kemelut FGV: Pemuda Umno ketinggalan keretapi, kata Mazlan

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) keliru dengan pendirian terkini Pemuda Umno yang mahu Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia menyiasat unsur-unsur menyalahi undang-undang membabitkan Felda Global Ventures Holddings Berhad (FGV) sedangkan selama ini membisu dengan kemelut yang berlaku dalam syarikat milik Felda itu.

Presidennya Mazlan Aliman berkata, Anak telah mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia lebih lima tahun lalu bagi membantah penyenaraian FGV sedangkan Pemuda Umno tidak langsung bersuara.

“Saya telah menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Sekuriti pada 10 Mei 2012 bertajuk ‘Perkara yang harus dipertimbangkan oleh Suruhanjaya Securiti Malaysia dalam membuat keputusan mengenai permohonan untuk menyenaraikan FGVH’.

“Memo tujuh mukasurat lengkap dengan segala hujah, mengapa FGV tidak wajar disenaraikan di Bursa Malaysia,” jelas Mazlan.

Tindakan ini, katanya disusuli memorandum bertarikh 26 Mei 2012 kepada Bursa Malaysia dan memo kepada Bank Negara pada 23 Mei 2012.

Mazlan juga bersedia menyerahkan salinan memorandum itu kepada Pemuda Umno untuk dirujuk.

“Di mana suara Pemuda Umno pada ketika itu? Saya tidak pasti mereka menyokong atau menentang, namun kelibat pemuda mereka yang paling kehadapan mempertahankan Isa Samad!” kesal beliau.

Setelah lima tahun berlalu dan FGV menghadapi pelbagai masalah, beliau mempertikaikan pendirian sebenar Pemuda Umno yang hanya mengeluarkan kenyataan media berhubung kemelut yang berlaku.

Naib Ketua Pemuda Umno Senator Khairul Azwan Harun dalam kenyataan media 14 Jun lalu mahu Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia menyiasat FGV.

“Pemuda Umno merasakan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia mempunyai peranan besar untuk mengawal selia dan memantau tadbir urus syarikat-syarikat awam tersenarai dan juga memelihara kepentingan pemegang-pemegang saham awam terutama kumpulan minoriti,” kenyataan itu dipetik.

TAGS