Kementerian Pengangkutan cacamarba kerana AES

Kementerian Pengangkutan cacamarba kerana AES

Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilihat telah mengelirukan pihak Kementerian Kewangan, tegas Sekretariat Protes AES (ProtAES).

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilihat telah mengelirukan pihak Kementerian Kewangan, tegas Sekretariat Protes AES (ProtAES).

Timbalannya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, hal ini dapat dilihat pada penafian Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai terhadap kenyataan Timbalannya sebelum ini berhubung kadar denda baharu bagi kesalahan melibatkan sistem itu.

“Nampaknya kementerian sudah menjadi cacamarba akibat AES ini. Bagaimana kita hendak letakkan kepercayaan kepada kementerian sebegini untuk selesaikan masalah kita? Menteri dengan timbalan pun keliru apa lagi kakitangan di bawah,” bidasnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kadar denda itu yang dikhabarkan dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada RM150 berbanding RM300 pada masa ini dilihat mempunyai kaitan dengan langkah kerajaan untuh mengagihkan hasil kepada syarikat pengendali AES.

Faiz Fadzil“Apa tujuannya kadar kompaun ditetapkan RM150? Semuanya bertujuan agar penerima saman-saman AES membayar jumlah RM150 tersebut.

“Dilaporkan sejumlah 2.5 juta saman AES yang tidak dibayar. Justeru kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan mengalami kesukaran untuk mendapatkan wang bagi dibahagikan kepada syarikat pengendali AES,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kerajaan mengalihkan kesukaran tersebut kepada pengguna tetapi dengan terma yang kononnya ‘suci’ bahawa pengurangan kompaun untuk kebaikan pengguna dan atas keprihatinan kesukaran ekonomi pengguna.

“Ini semua alasan lapuk kerana tujuan kompaun dikurangkan hanya semata-mata untuk menjerat pengguna atau penerima saman AES. Mereka akan memasuki perangkap ini dan membayar kompaun sedangkan tidak membayar kompaun bukan suatu kesalahan.

“Kompaun hanya tawaran pembayaran bukannya denda. Jika kompaun tidak dibayar, pihak berkuasa khususnya JPJ dalam hal AES ini hendaklah membawa penerima saman ke mahkamah.

“Sekarang semua prosiding saman AES masih dibekukan oleh Jabatan Peguam Negara. Belum ada sebarang maklumat ia akan dibawa ke mahkamah. Justeru, untuk mendapatkan wang mudah, perangkap kompaun RM150 ini dibuat,” tegasnya yang juga merupakan peguam.

Menegaskan pendirian ProtAES, Faiz menyifatkan pilihan terletak di tangan pengguna sama ada masuk ke perangkap atau mempertahankan hak.

“Kami di ProtAES konsisten menolak AES yang dilaksanakan untuk keuntungan. Kami di ProtAES akan terus mengutarakan dan membongkar permasalahan berkaitan AES demi hak pengguna serta akan sentiasa mempertahankan hak mangsa-mangsa AES yang tidak adil ini,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi dilapor pada 28 November lalu, mengesahkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) akan dipinda pada sidang Parlimen Mac 2017 bagi menetapkan kadar denda baru bagi kesalahan melibatkan AES.

Terdahulu, ProtAES pada 16 November membantah kenyataan Tiong Lai bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju menurunkan denda bagi kesalahan bersabit dengan AES daripada RM300 kepada RM150 walaupun denda minimum bagi kesalahan itu mengikut peruntukkan APJ 1987 adalah RM300.

Walau bagaimanapun, Tiong Lai seperti dilapor pada 30 November lalu menafikan APJ 1987 akan dipinda bagi menurunkan kadar denda pada Mac 2017 sekaligus menafikan kenyataan Aziz sebelum ini.

TAGS