Kementerian pengangkutan siasat ketirisan kontrak pengorekan pelabuhan

Kementerian pengangkutan siasat ketirisan kontrak pengorekan pelabuhan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kementerian Pengangkutan sedang menjalankan siasatan dalaman bagi merungkai isu ketirisan berkaitan kontrak pengorekan di pelabuhan seluruh negara yang bernilai RM507.77 juta.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihaknya memandang serius butiran Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 yang mendedahkan kepincangan dalam sistem perolehan kementeriannya dan bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara itu.

“Saya sudah arahkan Ketua Setiausaha (Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim) untuk segera mengadakan siasatan dalaman, malah kementerian bersikap terbuka dengan sebarang arahan SPRM.

“Sehingga kini, kami masih mengenal pasti sebarang elemen ketirisan untuk mendapatkan gambaran sebenar berhubung isu ini,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau bagaimana pun menjelaskan pihaknya menghadapi kesukaran untuk menyiasat perkara itu yang berlaku kira-kira 14 tahun lalu dan memerlukan masa untuk menjejaki kembali butiran perjanjian dan sebarang dokumen yang mungkin digunakan dalam perolehan itu.

Pada pembentangan laporan audit itu di Dewan Rakyat Isnin lalu, Ketua Audit Negara mendedahkan Kementerian Pengangkutan menerima 15 tawaran kontrak untuk menjalankan kerja pengorekan di pelabuhan seluruh negara.

Ia merangkumi aktiviti mendalam dan melebarkan terusan bagi menjamin keselamatan kapal dagang yang belayar menerusi perairan Malaysia.

Bagaimanapun, semua tender dibatalkan dan kontrak itu diberikan kepada sebuah syarikat baharu, iaitu Malaysian Maritime and Dredging Corporation Sdn Bhd (MMDC) yang ditubuhkan pada Jun 2002.

Perjanjian kontrak eksklusif bernilai RM507.77 antara kerajaan dan Malaysian Maritime and Dredging Corporation Sdn Bhd (MMDC) itu ditandatangani pada Oktober 2005.

Tempoh kontrak itu adalah untuk 15 tahun, bermula dari 19 Okt 2005 hingga 18 Okt 2020, namun Jabatan Audit Negara tidak menemui sebarang dokumen berkaitan perolehan kontrak terbabit.

TAGS