Kemiskinan melampau di Perak,  bukti kelemahan pimpinan Umno,BN

Kemiskinan melampau di Perak, bukti kelemahan pimpinan Umno,BN


Kemiskinan yang melampau di negeri Perak membuktikan betapa lemahnya kepimpinan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Umno dan BN terbukti dengan laporan yang telah dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah atau Khazanah Research Institute (KRI) baru-baru ini.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kemiskinan yang melampau di negeri Perak membuktikan betapa lemahnya kepimpinan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Umno dan BN terbukti dengan laporan yang telah dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah atau Khazanah Research Institute (KRI) baru-baru ini.

Laporan KRI mendedahkan bahawa Perak merupakan negeri kedua paling miskin selepas Kelantan apabila isi rumahnya berpendapatan dibawah RM2000 sebulan. Lebih parah lagi apabila kajian yang dibuat oleh KRI turut mendapati 81.1 peratus bilangan isi rumahnya berpendapatan dibawah RM6000 sebulan.

Rohana bersama tiga orang anaknya dalam kediaman tanpa air dan elektrik di Kampong Baru Lawin Gerik.Tinjauan yang dibuat ke kediaman Salim Mohamad, 35 tahun bersama isterinya Rohana Yaacob di Kampung Baru, Lawin, Gerik, mendapati mereka sekeluarga terpaksa tinggal dalam sebuah rumah tanpa bilik bersama tiga lagi anaknya yang masih bersekolah rendah.

Yang paling menyedihkan dengan pendapatan sebanyak RM15 setiap hari hasil dari torehan getah, Salim menggunakannya untuk wang saku persekolahan, minyak motosikal serta belanja dapur.

“Sebulan saya hanya mampu memperolehi sebanyak RM300 sebulan.

“Kerja mengambil upah menoreh getah bukannnya ada setiap hari, apa lagi jika hari hujan.

“Rumah yang kami diami tanpa bilik ini pun, tiada bekalan air dan elektrik sejak empat tahun yang lalu, ” jelasnya.

Menurut Salim lagi, rumah yang mereka diami juga bocor sekiranya hujan turun.

Sementara itu dinding rumah juga berlubang dengan hanya menggunakan papan lapis sebagai penghadang.

Manakala seorang lagi warga emas miskin yang telah ditemui, Sarihat Ibrahim, 71 tahun, dari Batu 1/2, Jalan Siakap, Bagan Serai, terpaksa tinggal dalam pondok usang tanpa bekalan air dan elektrik sejak 9 tahun yang lalu.

Tanpa kepedulian dari Adun Alor Pongsu maupun Ahli Parlimen BN Bagan Serai yang mewakili kawasan tersebut, beliau terpaksa bermalam dengan menggunakan pelita.

“Makcik memang miskin sangat, rumah ni pun digenangi air setiap hari.

“Dah lah tua, tiada bekalan air dan elektrik dah sembilan tahun sejak tinggal di sini.

“Yang paling makcik takut, bila hujan, rumah bocor dan terpaksa menadah timba,” ujarnya sedih.

Sariyat IbrahimMalah katanya, sebelum mendiami rumah usang hasil ihsan jiran, beliau menumpang tidur di masjid berdekatan selama 7 tahun.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara, Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin pula berkata, sepatutnya Adun BN dan Ahli Parlimen kawasan tersebut memberi perhatian kepada kedua-dua keluarga yang miskin seperti didedahkan.

“Saya telah bangkitkan isu 5000 keluarga Melayu yang miskin dalam sidang Dun sebelum ini, tapi kerajaan negeri seolah-olah tidak peka terhadap masalah kemiskinan ini.

“Ini membuktikan kerajaan pimpinan Umno dan BN tidak peduli terhadap kesengsaraan rakyat miskin dan daif.

“Apakah patut lagi ada keluarga yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik setelah negara mencapai 59 tahun kemerdekaan, ” tegas beliau lagi.

Datuk Seri Nizar JamaluddinBeliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jering turut berkata, pendedahan ini membuktikan betapa seriusnya masalah kemiskinan yang sedang dihadapi oleh rakyat di negeri Perak.

“Kerajaan negeri jangan cuba menafikan statistik dan kedudukan kemiskinan rakyat di Perak, khususnya orang Melayu yang telah dibuktikan melalui laporan KRI.

“Sekiranya Umno dan BN prihatin, peduli rakyat dan peka masalah kemiskinan melampau ini, sudah lama ia dapat diselesaikan.

“Tapi apabila mereka mengharapkan kemiskinan ini menjadi taruhan untuk mendapat mandat dalam pilihan raya, maka akhirnya rakyat miskin dijadikan korban bagi meraih sokongan untuk mengekalkan kuasa, ” tambahnya lagi.

Sehubungan itu katanya, rakyat mesti bangkit dan sedar bahawa Umno dan BN tidak lagi mampu untuk membela nasib rakyat.

Maka peluang yang ada mesti dimanfaatkan dengan memberi mandat kepada Amanah dan Pakatan Harapan untuk meneruskan pembelaan terhadap nasib rakyat dalam pilihan raya umum ke 14 yang akan datang.

TAGS