Kenaikan tambang pengangkutan awam dahsyat, kata Sasterawan Negara

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang juga pengguna tegar  pengangkutan awam menyifatkan kenaikan tambang pelbagai pengangkutan awam sebagai sangat dahsyat dan membebankan rakyat marhaen.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang juga pengguna tegar  pengangkutan awam menyifatkan kenaikan tambang pelbagai pengangkutan awam sebagai sangat dahsyat dan membebankan rakyat marhaen.

Beliau yang selalu menggunakan LRT dan monorail jika keluar ke mana-mana selain berjalan kaki berkata, kerajaan seharusnya mengutamakan kebajikan pengangkutan awam kerana ia merupakan keperluan rakyat dalam menjalani kehidupan seharian.

Mengambil contoh kenaikan tambang Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), beliau berkata kerajaan menggalakkan rakyat tinggal di luar Kuala Lumpur namun dalam masa yang sama menyukarkan perjalanan mereka ke tempat kerja setiap hari.

“ERL  sangat penting kepada orang yang bekerja di Kuala Lumpur, duduk di Putrajaya atau duduk di Kuala Lumpur kerja di Putrajaya.

“Digalakkan orang Melayu tingggal di Putrajaya tetapi disukarkan orang Melayu untuk berulang-alik dan sangat dahsyat kenaikannya,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Awal bulan ini, ERL mengumumkan kenaikan tambang sebanyak RM20 bagi tiket sehala KL Sentral ke KLIA/KLIA2 berkuat kuasa 1 Januari  tahun hadapan.

Sebelum itu mulai 2 Disember lalu, tambang Transit Aliran Ringan (LRT) dan Monorail dinaikkan mengikut jarak perjalanan manakala Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) dinaikkan dari 11 sen per kilometer hingga 15 sen per kilometer mulai tarikh yang sama.

Terbaru, KTMB turut mengumumkan dalam laman Twitternya harga tiket komuter bagi kanak-kanak 7 tahun ke atas adalah sama dengan harga tiket dewasa.

Samad yang mesra dengan panggilan Pak Samad juga amat bersimpati dengan golongan muda dan berpendapatan sederhana yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat belajar atau kerja setiap hari.

“Saya fikir kenderaan (awam) inilah antara yang kita harus jaga  kebajikannya sebab ini membawa orang ke sana ke mari dan menghidupkan perniagaan juga.

“Ini juga suatu sumbangan yang terbaik untuk rakyat. Saya memang gunakan pengangutan awam tapi hanya sekitar Kuala Lumpur jadi tak begitu rancak apalagi untuk orang tua ada harganya.

“Tetapi bagi orang muda dan perlu keluar bekerja datau belajar setiap hari ia sangat membebankan,” katanya.

Tegas Pak Samad yang aktif dalam pelbagai protes rakyat, kerajaan harus peka dengan kebajikan rakyat selain berfikir untuk terus mengekalkan kuasa mereka.

“Saya fikir untuk kebajikan awam itu, itulah siasah sebenarnya. Tapi bagi orang kita siasah itu ertinya kuasa bagi sebilangan orang supaya berkuasa, bukan siasah itu untuk kebajikan awam. Itu bedanya.

“Memanglah dalam dunia siasah itu ada wiranya, setannya memang ada tapi sepatutnya dengan dunia yang agak teratur, ada undang-undang kita harus lebih baik.

“Kerana kita mahu berkuasa bukan kerana kita mahu memberi kebajikan kepada rakyat,” katanya.

TAGS