Kenapa hanya lihat pada perut dan akaun kamu?

Kenapa hanya lihat pada perut dan akaun kamu?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) menggesa kerajaan negeri Kelantan supaya menghentikan serta-merta kegiatan pembalakan di Tohoi, Gua Musang.

Koordinatornya, Tijah Yok Chopil berkata, kesan pembalakan sedia ada sudah begitu teruk sehingga menjejaskan sumber rezeki mereka.

“Kenapa kamu hanya lihat pada perut dan akaun kamu sahaja? Kenapa tidak lihat pada perut kanak-kanak dan perempuan Orang Asli?” soalnya ketika ditemubual Malaysia Dateline di Gua Musang pagi tadi.

Menurutnya, perbincangan berkaitan kepentingan Orang Asli harus mempertimbangkan hak, keadilan dan kebajikan serta kesinambungan orang asli.

“Hormati Orang Asli. Jangan layan mereka seperti anjing kurap di tepi jalan. Mereka juga manusia biasa ciptaan Tuhan,” ujarnya.

Mengulas keputusan kerajaan negeri menghentikan sementara kegiatan pembalakan, Tijah berkata, Orang Asli sebenarnya tidak gembira dengan ketetapan itu.

“Tuntutan Orang Asli adalah hentikan terus sebab kesan pembalakan yang berlaku amat teruk. Tidak guna kalau hentikan sementara pembalakan di Hutan Simpan Balah hanya atas alasan untuk selesaikan kekeruhan tapi sebenarnya untuk meneruskan pembalakan,” ujarnya.

Beliau yang menjadi aktivis lebih 20 tahun berkata, Orang Asli sudah hilang keyakinan dengan jaminan kononnya kegiatan pembalakan lebih seimbang memandangkan kesan buruk sebelum ini sudah terang-terang depan mata.

“Siapa nak baiki kerosakan yang berlaku sejak kegiatan membalak dilakukan bertahun-tahun?

“Kalau serah pada pembalak, mereka hanya akan menambahkan kemusnahan alam semula jadi.

“Orang Asli akan tetap juga menderita. Ini bukan isu Orang Asli harus berdamai dengan syarikat pembalak. Isu utamanya pembalakan ini harus dihentikan. Orang Asli di Kelantan sudah cukup menderita,” tegasnya.

Beliau mengingatkan kerajaan negeri mesti membuat keputusan membangunkan ekonomi negeri tanpa terlalu bergantung pada sumber balak.

“Cukup-cukuplah. Saya tidak nampak saudara-mara saya di Kelantan sudah maju. Layanan terhadap mereka masih teruk. Saya rasa cukup-cukuplah.

“Itu bukan pembangunan yang bijak. Apa makna pembangunan jika kamu musnahkan hutan belantara?

“Sudah cukup luas tanah yang kerajaan negeri bukan untuk Ladang Rakyat. Cukuplah. Sekarang ini, jangan tambah lagi teroka hutan.

“Segala perbincangan mesti dengan seluruh komuniti Orang Asli. Duduk betul-betul bincang. Jangan bincang kerana kamu hendak meneruskan pembalakan,” ujarnya lagi.

TAGS