Kenyataan ketua Pemuda Pas buktikan fikrah Umno dan Pas sama

Kenyataan ketua Pemuda Pas buktikan fikrah Umno dan Pas sama

Kenyataan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi bahawa undi kepada Pakatan Harapan (PH) adalah undi kepada DAP membuktikan parti tersebut kini bermain sentimen kaum bagi meraih sokongan dan secara tidak langsung membantu Umno khususnya Datuk Seri Najib Razak bagi mengekalkan kuasa.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil menyifatkan kenyataan Khalil itu sebagai meleset kerana perjuangan PH adalah bagi menyelamatkan negara daripada pemerintahan kleptokrasi Najib Razak dan Umno yang banyak melakukan rasuah dan salah urus tadbir wang negara sehinggakan skandal-skandal korupsi berskala mega seperti 1MDB dan Felda mendapat perhatian antarabangsa.

Menurut Faiz, tawaran 100 hari pemerintahan PH seperti pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat skandal 1MDB, menstabilkan harga minyak serta tawaran-tawaran Pemuda PH dalam isu pendidikan, pekerjaan dan perumahan adalah objektif dan halatuju yang positif dan konkrit bagi membina semula negara dan membebaskan rakyat daripada kezaliman dan bebanan kos sara hidup.

“Ironinya, Pas hanya bergantung kepada sentimen perkauman dalam berhadapan Pilihan raya Umum Ke-14. Keengganan Pas untuk bersama PH bagi membentuk satu barisan bersatu (united front) adalah bukti kegagalan Pas untuk bersama-sama menyelamatkan negara.

“Membangkitkan isu campurtangan kuasa asing terhadap usaha PH menentang korupsi terutama skandal 1MDB adalah suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan naif tentang jenayah penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin utama negara. Pas dilihat lebih rela membiarkan kleptokrat terus berkuasa walaupun ianya bertentangan dengan syariat,” bidas Faiz.

Faiz menambah, kenyataan Khalil bahawa “undi kepada PH adalah undi kepada DAP” adalah penekanan semula kenyataan Najib Razak dalam Perhimpunan Agung Umno 2016 yang mengatakan bahawa ‘ketuanan’ PH adalah DAP.

“Mungkinkah persamaan fikrah antara Pas dan Umno sekarang hasil pendirian Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang hanya mahu menjadi penasihat merupakan suatu  kemahuan dan bukan lagi kebetulan,” soal beliau.

{loadposition myposition}

Beliau seterusnya menyeru rakyat khususnya ahli dan penyokong Pas supaya ‘membuka mata’ terhadap perubahan sikap Pas yang menjadi tongkat Umno dan seterusnya gagal mengangkat aspirasi rakyat yang mengharapkan perubahan dalam negara.

“Memberi undi kepada Pas adalah memberi undi kepada Umno yang selama ini berjuang atas nama perkauman. Memainkan sentimen perkauman bukanlah suatu sikap  yang matang kerana ia tidak membawa kesejahteraan kepada negara,” tegasnya.

CATEGORIES
TAGS