Keperluan golongan agamawan tonjolkan nilai Islam yang tulen

Keperluan golongan agamawan tonjolkan nilai Islam yang tulen

 

Sememangnya hidup ini kita memerlukan dan dahagakan sebuah bimbingan yang murni dalam memandu malah mencorakkan demografi hidup kita. Kita adalah bagaimana persekitaran mendidik kita. Kita adalah bagaimana ibu dan ayah mendidik kita. Kita adalah bagaimana kefahaman terhadap agama mendidik kita

.Namun tidak dilupai bahawa ada satu golongan yang sememangnya mustahak untuk kita renungi dan bincangkan sejauh mana mereka mampu mendidik minda dan spiritual masyarakat di Malaysia khususnya. Golongan ini sangat mendapat tempat dan berpengaruh kepada masyarakat dek kerana darjat dan keilmuan mereka lebih tinggi daripada kita yang marhaen ini.

Golongan agamawan atau istilah lainnya adalah golongan asatizah, golongan yang menjadi rujukan masyarakat dan golongan yang selalu berbicara soal akhirat adalah merupakan kelompok yang sangat dipandang mulia dan tinggi oleh masyarakat harini. Mereka ini kebiasaanya aktif dalam menyampai ilmu dalam slot kuliah bersama ahli jemaah surau , menjadi panel jemputan forum-forum berbentuk islami, sibuk dengan program-program yang membentuk nilai kerohanian masyarakat dan sebagainya.

Fokus nukilan ini merujuk kepada golongan agamawan yang mempunyai kelulusan dalam bidang agama. Tidak kiralah mereka ini lepasan Jordan, Madinah, Maghribi dan sebagainya. Tidak lupa juga kepada mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang agama lepasan institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta di Malaysia.

Apatah lagi keluaran madrasah dan pondok-pondok turath yang ada di Malaysia ini. Apabila mereka keluar sahaja pasti menjadi figura figura yang dipercayai dan menjadi rujukan abadi dalam masyarakat untuk memandu hidup mereka. Ini merupakan suatu perkembangan yang positif dalam kalangan masyarakat muslim kita yang semakin hari semakin bertambah kemahuan utk mendekati agama.

Namun demikian, seandainya medium ini disalah gunakan dengan tangan tangan yang salah kerana mementingkan soal peribadi semata mata, soal partisan yang mendesak dan soal memaksa orang ramai mengikut apa sahaja yang mereka katakan tanpa mengetahui dalil dan hujah yang benar.

Fenomena ini sebenarnya mewujudkan suatu polemik yang dahsyat hinggakan masyarakat keliru akan kewujudan insan sebegini yang seolah olah ada sesuatu yang tidak kena dan berlakunya doktrin yang melampau dalam mengambil suatu pandangan. Lebih teruk, segelintir golongan agamawan ini terang-terang mencerca dan menghina individu tanpa berasa bersalah.

Maka di situ kita boleh persoalkan sejauh mana akhlak yang mahu dipaparkan oleh mereka. Ada juga yang mengenakan caj yang tinggi sekiranya pihak pengurusan masjid mahu mereka ini menyampaikan ceramah atau menjadi panelis dalam program mereka. Tiada masalah nak kenakan caj tapi biarlah berpatutan. Kerana agama bukanlah untuk dikomersialkan. Mungkin satu kelemahan lagi adalah apabila berbicara soal agamawan, kita hanya pandang pada sudut kerangka kerohanian sahaja. Sedangkan tugas mereka luas dan tidak rigid kepada suatu aspek.

Kadang kadang asyik kritik tiada gunanya. Maka saya sertakan beberapa solusi dalam kita membina masyarakat yang tinggi nilai inteleknya dan mahal ideanya dalam membentuk sebuah masyarakat yang penuh dan sarat dengan nilai nilai murni. Pokoknya yang perlu kita fahami adalah keperluan manyantuni masyarakat menggunakan methodologi penuh rahmah dan kasih saying. Tonjolkan nilai Islam yang asli dan tulen. Imanilah bahawa islam itu mempunyai mesej keseluruh alam “ Rahmatan lil Alamin”.

Pertama, dek kerana zaman kini yang penuh dengan cabaran dan era globalisasi yang amat kompleks menjadikan golongan agamawan perlu berfikir di luar kotak pemikiran kampung. Mereka perlu menjalankan konsep keterbukaan yang luas berlandaskan syarak dalam mengimbangi idea dan matang dalam menyelesaikan masalah. Kerana masyarakat harini mudah mendapatkan maklumat hanya di hujung jari sahaja. Buka pin password pada tatapan telefon kemudian buka carian di google. Agamawan seharusnya lebih bersedia dengan pelbagai pertanyaan dan soalan.

Bijak menangani kepelbagaian pendapat ulamak2 silam dan kotemporari yang ada. Memberi ruang kepada masyarakat untuk berfikir dan menilai mana yang lebih kuat hujahnya. Tugas agamawan bukan sahaja mengatakan itu haram, haram dan haram. Bukan sahaja mengatakan itu halal, halal dan halal. Kita perlukan golongan agamawan yang sentiasa berkata berdasarkan hujah yang benar dan dalil yang tepat dalam memandu hidup ummah ini berlandaskan quran dan sunnah.

Kedua, pendekatan yang mengutamakan aspek praktikal dan tindakan perlu menjadi keutamaan. Slogan yang selalu kita dengar iaitu “Islam sebagai solusi” seharusnya diterjemahkan dalam medan yang sepatutnya. Golongan agamawan inilah merupakan insan yang layak dalam mendefinasikan solusi tersebut.Seruan dakwah ini bukanlah terletak pada slogan, teriak, fikrah semata mata tetapi mereka juga perlu untuk turun padang bersama masyarakat.Menyelami mehnah dan tribulasi yang dilalui oleh masyarakat.

Mendekati orang ramai dengan penuh kasih dan sayang. Mereka sebaiknya menjadi medan untuk menyuarakan sengsara rakyat yang parah kepada pimpinan. Siapa lagi yang boleh membantu masyarakat kalau bukan golongan agamawan dan asatizah yang begitu banyak manfaatnya kepada kita semua. Bawalah isu isu berkaitan kebaikan sejagat yang memberikan manfaat bukan sahaja kepada agama tetapi lebih dari itu misalnya alam sekitar, golongan muslim dan bukan muslim, golongan OKU, haiwan dan sebagainya.

Marilah bersama sama kita menjadikan hidup ini lebih dimaknai dengan kefahaman terhadap agama yang komprehensif.

CATEGORIES
TAGS