Kerajaan ambil alih pindaan Akta 355, ramai bimbang dipolitikkan

Kerajaan ambil alih pindaan Akta 355, ramai bimbang dipolitikkan

Banyak pihak meragui sama ada tindakan kerajaan mengambil alih pindaan Akta 355 benar-benar mahu memperkasakan perundangan Islam di negara ini atau sekadar permainan politik untuk memperdaya pengundi Melayu-Islam semata-mata.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika himpunan solidariti Rohingya baru-baru ini memberi jaminan bahawa usul ahli parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) akan diambil alih oleh kerajaan.

Perkembangan ini menjadikan banyak pihak meragui sama ada tindakan ini benar-benar mahu memperkasakan perundangan Islam di negara ini atau sekadar permainan politik untuk memperdaya pengundi Melayu-Islam semata-mata.

Ahli parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud, yang membawa usul alternatif di dewan rakyat berkata, kenyataan yang dikeluarkan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa usul ini tidak memerlukan persetujuan pihak raja-raja kerana usul ini dibentangkan melalui usul persendirian adalah silap.

“Saya bersetuju dengan Datuk Zaid Ibrahim mengenai perkara ini kerana akhirnya segala bentuk perundangan dan pelaksanaan hal ehwal Islam di negara ini tentulah perlu dirujuk kepada raja-raja yang dimaktubkan sebagai ketua agama di semuaegeri-negeri di Malaysia.

“Sebenarnya ini adalah salah satu perkara yang ingin saya timbulkan semasa membawa usul alternatif di parlimen yang ditolak oleh speaker,” katanya.

Zaid yang mengulas kenyataan itu berkata Jamil Khir bukan sahaja salah dari segi fakta, tetapi juga menunjukkan kecenderungan Umno untuk mencari jalan untuk memintas undang-undang demi kepentingan mereka sendiri.

Abdul Hadi sebelum ini berusaha memansuhkan hukuman maksimum yang ditetapkan di bawah Akta 355.

Ini akan membolehkan negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu untuk menguatkuasakan enakmen negeri masing-masing bagi melaksanakan undang-undang hudud.

Presiden PAS itu bagaimanapun, akhirnya meminda usulnya dengan cadangan hukuman maksimum penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

Hukuman pada masa ini adalah penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Sementara itu ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengucapkan terima kasih kerana Abdul Hadi telah mengambil kira pandangan Amanah berkenaan penetapan hukuman maksimum yang sebelum ini dibiarkan terbuka.

“Dalam usul asal yang dikemukakan, hukuman tidak dinyatakan hadnya cuma tidak termasuk hukuman mati dan pihak kita sudah memberi pandangan bahawa cadangan undang-undang seperti ini adalah tidak masuk akal.

“Oleh itu setelah dibuat ketetapan ketika pembentangan usul yang baru kita berpuas hati bahawa pandangan kita diambil kira,” katanya.

Khalid bagaimanapun agak terkejut dengan had hukuman sedemkian kerana nilai-nilai yang dinyatakan itu tidak dapat dijangka dari mana sumbernya.

“Untuk masa ini senarai kesalahan-kesalahan yang boleh dibicarakan di mahkamah syariah hanyalah berkisar perkara-perkara berkaitan hal

ehwal rumah tangga dan perlanggaran akhlak Islam yang tidak termasuk kesalahan-kesalahan jenayah yang ada dalam kanun kesiksaan (panel code).

Adalah mengejutkan jika kesalahan-kesalahan seperti ini untuk dihukum sehingga penjara 30 tahun dan denda RM100 ribu.

Beliau menimbulkan persoalan tentang nilai dan had hukuman yang dicadangkan ini.

“Adakah ini cadangan yang dikemukakan oleh badan-badan berautoriti dalam Pas seperti majlis syura ataupun dewan ulamak, kerana sehingga ini kita juga tidak menjumpai pandangan dari pihak berautoriti lain seperti majlis fatwa atau pandangan ulama-ulama ternama,” katanya.

TAGS