Kerajaan baru Kedah tiada moral politik

Kerajaan baru Kedah tiada moral politik

Kerajaan baharu yang akan dibentuk di Kedah tiada moral politik untuk mentadbir, kata ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan baharu yang akan dibentuk di Kedah tiada moral politik untuk mentadbir, kata ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menegaskan, akuan bersumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN daripada Umno yang dikumpulkan untuk dipersembahkan kepada Sultan dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi menunjukkan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Adun Kedah adalah tidak sah.

Hal ini kerana ia dilakukan selepas berlaku ‘kong kalikong’ dalam usaha rampasan kuasa.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Mahfuz berkata dakwaan itu dikuatkan lagi dengan pendedahan Adun Kota Seputeh Datuk Abu Hassan Sarif bahawa beliau diburu dan dipaksa menyokong kumpulan yang menolak Mukhriz.

“Kejadian tersebut mengesahkan lagi kenyataan saya sebelum ini bahawa Akuan Bersumpah Adun-adun Kedah adalah tidak sah kerana ia diberi tanpa niat untuk hilang kepercayaan kepada Mukhriz sebagai menteri besar.

“Kertas akuan bersumpah tersebut hanya setaraf kertas tandas kerana diperoleh secara tidak demokratik seperti yang didakwa oleh Adun Kota Seputeh,” kata beliau.

Rabu lalu Abu Hassan pada perhimpunan penyokong Mukhriz di Kampung Sanglang, Ayer Hitam menceritakan bahawa beliau lari dan hampir-hampir jatuh di laut kerana diburu dan dipaksa menyokong kumpulan yang menolak Mukhriz.

Mahfuz yang juga Yang Dipertua Pas Pokok Sena turut berkata, sebarang Akuan Bersumpah yang dibuat secara paksa adalah satu penghinaan kepada Sultan.

“Sebarang dokumen Akuan Bersumpah Adun Umno Kedah yang dipersembahkan ke bawah Duli Tuanku Sultan dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk menunjukkan yang Mukhriz tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Adun Kedah adalah suatu penghinaan kepada ke bawah Tuanku Sultan,” katanya.

Semalam Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata telah menyembah maklum beberapa cadangan kepada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah berhubung krisis Menteri Besar negeri itu.

Bagaimanapun, Najib yang juga Perdana Menteri, tidak menyatakan cadangan tersebut dan memberitahu bahawa perkembangan selanjutnya mengenai perkara itu akan diumumkan nanti.

“Saya maklumkan pada MT (Majlis Tertinggi Umno) bahawa saya sudah menghadap Pengerusi Jemaah Diraja (di sini) pada pagi tadi, dan saya telah sembah maklum akan beberapa cadangan atas nama pihak Umno.

“Perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Kuala Lumpur.

Beliau diminta mengulas sama ada mesyuarat MT ada membincangkan mengenai kedudukan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Diminta mengulas mengenai laporan media berhubung tiga nama yang dikatakan telah dikemukakan bagi menggantikan Mukhriz, Najib berkata: “Nanti saya maklumkan, tiada penolakan (terhadap cadangan yang dikemukakannya), majlis itu berjalan dengan baik.”

Najib berkata, beliau selaku presiden Umno, mengambil maklum dan memberi pertimbangan serius mengenai krisis kepimpinan di Kedah.

“Kita dengar adanya permasalahan, tapi ini diputuskan oleh ketua-ketua bahagian Umno, ada 14 ketua bahagian putuskan perkara ini.

“Jadi sebagai presiden, saya kena ambil maklum dan beri perhatian yang serius kepada pendirian ketua-ketua bahagian Umno ini,” katanya.

Kedudukan Mukhriz menjadi teka-teki susulan pengumuman pada 20 Jan bahawa hampir keseluruhan pimpinan Umno Bahagian di Kedah hilang kepercayaan terhadap beliau selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah.

TAGS