Kerajaan disaran wujud tempoh larangan tangkapan ikan

Kerajaan disaran wujud tempoh larangan tangkapan ikan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan disaran agar mewujudkan tempoh larangan penangkapan ikan di perairan di negara bagi membolehkan hidupan yang menjadi makanan sumber protein utama rakyat di negara ini membiak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, kebelakangan ini jumlah pendaratan ikan di seluruh negara dilaporkan menurun berikutan sumbernya yang semakin berkurangan.

“Salah satu cara yang kita boleh lakukan untuk meningkatkan kembali jumlah tangkapan ikan ini ialah dengan mewujudkan satu tempoh larangan penangkapan ikan pada bulan-bulan tertentu bagi membolehkan haiwan itu kembali membiak.

“Perkara itu telahpun dikemukakan dalam mesyuarat exco-exco pertanian seluruh negara di Sarawak baru-baru ini dan cadangan itu juga dihantar kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk dipertimbang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Peramu di sini.

Beliau difahamkan cadangan itu kini dalam peringkat kajian di peringkat kementerian untuk diteliti kesesuaian pelaksanaannya.

Dalam masa yang sama beliau turut meminta pihak berkuasa seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDM) mengetatkan kawalan di perairan negara untuk mengelakkan kes pencerobohan oleh bot nelayan asing.

“Pencerobohan bot nelayan asing ini turut menjejaskan tangkapan nelayan tempatan kerana mereka menggunakan pukat tunda dan mengaut dengan rakus semua hasil dalam laut termasuk anak-anak ikan.

“Keadaan inilah antara faktor yang menyebabkan hasil laut kita semakin hari semakin berkurangan dan tangkapan nelayan tempatan semakin sedikit,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Shafik berkata keadaan panas yang melanda negara ketika ini tidak begitu menjejaskan sektor pertanian di negeri ini.

“Memang kita akui adalah sikit kesannya (kepada sektor pertanian) tapi masalah tidak serius. Agensi dan jabatan kerajaaan yang berkenaan kini sedang membuat laporan mengenai permasalah yang timbul,” katanya.

Dalam masa yang sama, katanya kerajaan negeri menerusi agensi yang berkenaan juga akan memohon bantuan daripada kerajaan pusat untuk membantu petani dan penternak ikan sangkar yang terjejas dengan keadaan itu untuk meringankan beban mereka.

CATEGORIES