Kerajaan lantik 24 pakar rujuk deradikalisasi dan anti keganasan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

 

Kerajaan melantik 24 pakar rujuk deradikalisasi dan anti keganasan tempatan untuk membantu menangani isu radikalisme dan sikap militan secara holistik di peringkat nasional dan global.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ia dilakukan di sebalik kebimbangan berhubung kewujudan 123 rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Isis dan rangkaiannya di Syria dan Iraq.

Beliau menarik perhatian bahawa 66 daripada mereka dikenal pasti berada di Syria untuk berjuang bersama Isis.

Berucap merasmikan ‘Seminar Negara Islam : Jihad vs Militan’ malam tadi, beliau berkata pPenglibatan rakyat Malaysia dalam jumlah yang besar perlu ditangani dengan teliti dan sistematik.

“Selain aspek ‘disruptive operation’, program-program bersifat ‘counter narrative’ atau deradikalisasi perlu dititikberatkan kerajaan dalam membendung gejala radikalisme daripada berleluasa.” ujarnya.

Nur Jazlan seterusnya berkata rakyat negara ini harus menitikberatkan cabang jihad lain meliputi bidang ilmu, ibadat, ekonomi, perundangan Islam dan akhlak yang mampu meningkatkan kualiti dan sumbangan umat Islam di mata dunia.

Seminar sehari anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri itu dihadiri 500 peserta merangkumi penjawat awam dan mahasiswa tempatan.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Nur Jazlan berkata Rang Undang-Undang MKN 2015 yang dibentang di Dewan Rakyat pada 1 Dis lalu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu berkaitan keselamatan negara.

“Sebagai contoh, jika berlaku apa-apa di KLCC yang perlukan tindakan cepat, undang-undang itu dapat digunakan untuk mendeklarasikan kawasan berkenaan sebagai kawasan keselamatan supaya tindakan anggota keselamatan dapat disepadukan dengan pantas,” katanya.

Beliau menegaskan rang undang-undang itu tidak harus disalah erti sebagai satu tindakan yang membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata Kementerian Dalam Negeri akan menganjurkan “Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Faham Pelampau Ganas” pada 25 dan 26 Jan 2016.

Pakar dan wakil dari 19 negara dijemput untuk berkongsi pengalaman serta bertukar idea dalam menangani masalah radikalisme dan sikap militan.

TAGS