Kerajaan Malaysia persoal tindakan terbaharu DoJ

Kerajaan Malaysia persoal tindakan terbaharu DoJ

 

Pelbagai siasatan mendapati tiadanya bukti yang menunjukkan wang dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sebaliknya kerajaan pula mempersoalkan tindakan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat memfailkan saman terbaru bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Dalam satu kenyataan hari ini, Peguam Negara berkata: “ Tidak ada bukti daripada mana-mana penyiasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang bagi pelbagai bidang kuasa yang menunjukkan wang disalahgunakan daripada 1MDB, dan tidak ada sebarang pertuduhan jenayah dibuat terhadap mana-mana individu bagi penyelewengan dana daripada 1MDB.”

Beliau juga mengambil perhatian bahawa saman kedua yang difailkan itu “ berlaku pada ulang tahun saman pertama, dan nampaknya ia merupakan tindakan ulangan.”

Beliau menyatakan rasa kecewa kerana “sekali lagi Jabatan Peguam Negara tidak dimaklumkan atau diberitahu oleh DoJ berhubung tindakannya itu”.

Mohamed Apandi berkata 1MDB telah melalui beberapa siasatan di Malaysia termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

“Selepas semakan, kami mendapati tiada jenayah dilakukan,” katanya sambil memberitahu bahawa polis Malaysia masih menjalankan penyiasatan berhubung 1MDB.

Mohamed Apandi berkata: “Kami ingin menyatakan rasa bimbang mengenai sindiran tentang salah laku jenayah yang dibuat terhadap Perdana Menteri. Tindakan sivil itu langsung tidak menamakan Perdana Menteri sebagai defendan atau didakwa melakukan sebarang salah laku jenayah”.

Beliau berkata sehingga kini, Jabatan Peguam Negara tidak menerima sebarang permintaan daripada DoJ untuk mendapatkan apa-apa maklumat atau bukti.

“Bagaimanapun, kami mengalu-alukan apa-apa permintaan sedemikian selaras dengan komitmen kami untuk menjalinkan kerjasama antarabangsa dan memerangi pengubahan wang haram,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, berkata kerajaan bimbang dengan kegagalan DoJ untuk mendapatkan kerjasamanya atau 1MDB berhubung saman sivil terbaru itu.

Beliau berkata kerajaan juga bimbang dengan “tindakan tidak perlu dan tidak sepatutnya dalam menamakan perkara-perkara tertentu dan individu yang hanya relevan kepada manipulasi politik domestik dan campur tangan”.

‘Ini menunjukkan wujudnya motivasi yang melangkaui objektif untuk merampas aset-aset,” katanya dalam kenyataan.

Tengku Sariffuddin berkata kerajaan Malaysia akan memberikan kerjasama penuh dengan mana-mana penyiasatan yang sah terhadap mana-mana syarikat atau warganegara Malaysia mengikut protokol antarabangsa.

“PIhak berkuasa Malaysia telah melakukan banyak siasatan dan secara menyeluruh membabitkan 1MDB, termasuk oleh badan bebas dan dwipartisan seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara , dan didapati tiada perbuatan jenayah,” katanya.

Beliau berkata 1MDB masih lagi disiasat oleh polis Malaysia dan “jika terdapat bukti berlakunya sebarang salah laku, Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan. Sehingga itu, sebarang dakwaan yang tidak dibuktikan tidak patut diambil kira sebagai fakta”.

Beliau mengambil perhatian mengenai kenyataan akhbar DoJ, yang menyatakan “Satu aduan sivil bagi perampasan hanyalah sekadar satu dakwaan bahawa wang atau hartanah ada terlibat atau mewakili hasil daripada jenayah. Dakwaan berkenaan masih belum dibuktikan sehingga mahkamah membuat penghakiman yang memihak kepada Amerika Syarikat”.

Tengku Sariffuddin berkata Malaysia berpegang teguh pada pendirian menyokong ketelusan dan urus tadbir baik termasuk memastikan bahawa “tuduhan perlu berasaskan fakta, dan bukannya keburukan yang dicanangkan oleh lawan politik”.

Beliau berkata: “Kami yakin keadilan akan terserlah dan Malaysia akan terus bekerjasama dengan semua agensi antarabangsa yang bersedia berbuat demikian.

“Seperti yang sentiasa ditegaskan oleh Perdana Menteri, jika sebarang salah laku dibuktikan, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian,” katanya.

TAGS