Tiada rasa kelucuan kerajaan Malaysia  itu bahaya

Tiada rasa kelucuan kerajaan Malaysia itu bahaya

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kartunis politik Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaaque telah menulis pandangan beliau mengenai penindasan hasil karyanya melalui Akta Hasutan di dalam portal berita The Washington Post yang disiarkan pada Jumaat lalu.

Zunar mendedahkan bagaimana usaha beliau sebagai seorang kartunis untuk menegur kepincangan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menyebabkan beliau kini, di dakwa di bawah Akta Hasutan yang membolehkan beliau dijatuhi hukuman penjara selama 43 tahun.

Zunar menyebut di dalam tulisannya prosiding mahkamah terhadapnya akan bermula pada Januari ini.

“Saya dituduh menghasut kerana menghantar satu tweet kerana menentang penahanan seorang pemimpin politik parti pembangkang di Malaysia.

“Sekarang saya menghadapi sembilan pertuduhan dalam satu penjajahan kuno di bawah Akta Hasutan yang mengakibatkan saya boleh dihukum penjara 43 tahun. Prosiding mahkamah terhada saya akan bermula bulan ini,” ujarnya sebagaimana dipetik daripada portal berita The Washington Post itu.

Pada 23 November lalu beliau menerima Anugerah Kebebasan Akhbar Antarabangsa dari Committee to Protect Journalist (CPJ) di New York, Amerika Syarikat telah membincangkan mengenai kes yang dihadapinya bersama wartawan dan kartunis Amerika.
Manakala pada ketika yang sama pula Presiden AS, Barack Obama sedang mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur (Asean Summit Kuala Lumpur ) bersama Perdana Menteri Malaysia.

Dalam usaha untuk menarik perhatian Malaysia dilaporkan Obama memberi tumpuan kepada memerangi ektremisme dan menjayakan Perjanjian Perkongsian Trans- Pasifik (TPPA). Itu adalah satu kekecewaan besar dan peluang yang tidak dijawab.

Obama sewajarnya mempunyai tanggungjawab untuk meletakkan isu hak asasi manusia di atas meja persidangan itu kata Zunar.

Menurut Zunar lagi, serangan undang-undang terhadap beliau bukan satu perkara baru kerana pihak berkuasa telah banyak kali cuba menutup mulutnya.

“Pejabat saya telah diserbu beberapa kali pada 2009 dan telah merampas beribu-ribu buku kartun saya pada 2009.

“ Pada tahun 2010, lima buku saya – termasuk ‘1 Funny Malaysia’ – telah diharamkan oleh Menteri Dalam Negeri, yang mengisytiharkan kandungannya ‘ memudaratkan ketenteraman awam’.

“Tahun yang sama saya juga ditahan pihak polis dan dikurung selama dua hari selepas penerbitan ‘Cartoon-O-Phobia.’ yang saya gambarkan kerajaan Malaysia tidak mempunyai rasa kelucuan.

“Pada akhir 2014, webmaster saya telah dipanggil untuk disoal siasat , dan tiga pembantu saya telah ditangkap kerana menjual buku-buku saya.

“ Saya juga dibawa untuk disoal siasat oleh pihak polis, dan syarikat yang memproses pesanan untuk laman web saya terpaksa mendedahkan senarai pelanggan saya.

“Pada bulan Januari tahun lalu, polis menyerbu pejabat saya dan kemudian membuka dua kertas siasatan pada bulan Februari di bawah Akta Hasutan, ketika itu mereka benar-benar melemparkan buku saya,” tulis Zunar.

Malah Zunar menerangkan kerajaan bukan sahaja mensasarkan kepada hasil karyanya tetapi turut bertindak keras terhadap keseluruhan ekosistem kebebasan bersuara rakyat.

Termasuklah serbuan terhadap tiga buah syarikat penerbit dan pencetak buku-buku beliau . Mereka diberikan amaran agar tidak lagi mencetak buku-bukunya di masa akan datang.

“Begitu juga, kedai-kedai buku yang menjual buku saya diserbu dan diugut untuk menarik lesen.Oleh itu tiada siapa yang berani mencetak atau menjual buku-buku saya,” ujarnya.

Zunar,53, berkata atas sekatan yang dilakukan menyebabkan beliau mencari ruang untuk beralih kepada internet untuk berkongsi pendapat dan karya seninya kepada masyarakat, malangnya kini ruang itu juga turut disekat.

Zunar mengambil kata-kata daripada Ketua Eksekutif Twitter Jack Dorsey baru-baru ini yang menyebut bahawa platform twitter adalah kubu “kebebasan bersuara” dan bercakap “benar kepada kuasa.”

“ Dengan slogan peribadi saya “Pen saya mempunyai pendirian, bagaimana saya boleh neutral “.

“Jika seseorang boleh menghadapi tuduhan hasutan kerana menyatakan kepercayaan dalam 140 aksara atau kurang, maka tidak adalah kebebasan bersuara,” ujarnya.

Zunar memperjelaskan mengenai Akta Hasutan Malaysia adalah amat luas, mengharamkan apa-apa perbuatan, ucapan atau penerbitan dikatakan membawa penghinaan terhadap kerajaan, sultan atau Raja.

Kata Zunar lagi pada tahun 2012, Perdana Menteri berjanji untuk memansuhkan akta tersebut kerana, beliau berkata, ia “mewakili zaman yang telah berlalu” sebaliknya kini beliau berpatah balik untuk mengukuhkan akta itu.

“Saya telah didakwa dengan satu tuduhan hasutan untuk setiap tweet kononnya menghasut. Saya berjaya boleh melawan satu, atau mungkin dua tuduhan, tetapi sembilan pertuduhan dan potensi 43 tahun hukuman penjara menjelaskan bahawa kerajaan mahu menjadikan saya ini contoh kepada masyarakat.

“ Saya memerlukan bantuan daripada seluruh dunia untuk berkongsi komitmen saya dalam kebebasan hak bersuara.

“Amnesty International menonjolkan kes saya sebagai sebahagian daripada ‘Menulis untuk kempen hak asasi manusia terbesar di planet ini.

“Anda sendiri boleh menulis kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan menyeru kerajaan untuk menggugurkan tuduhan terhadap saya dan untuk memansuhkan undang-undang seperti Akta Hasutan yang menyekat hak kebebasan bersuara.

“Tekanan masyarakat awam dari seluruh dunia boleh membuat perubahan yang besar dalam kes saya. Saya harap anda akan menyertai saya untuk mengambil pendirian ini,” ujar Zunar dalam ruangan Opinion di portal The Washington Post itu.

Sebagai rekod Carton O Phobia adalah mesej kepada kerajaan Malaysia untuk terus menerima setiap penghasilan karya kartun lakaran Zunar.

Pada 11 November 2015 keputusan Mahkamah Rayuan membatalkan pengharaman kepada dua buku beliau ‘1 Funny Malaysia dan ‘Perak Darul Kartun’.

Keputusan itu dibuat oleh panel lima hakim yang mana kedua buku itu diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Mei 2010 atas alasan isi kandungan buku itu mengancam ketenteraman awam dan boleh mempengaruhi orang ramai merusuh.

Kerajaan juga gagal memberi bukti bahawa kartun beliau bersifat hasutan sebaliknya dalam kes itu hasutan digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara.

Keputusan mahkamah itu juga membuktikan bahawa polisi Cartoon O Phobia serta menjenayahkan kartunis yang diamalkan kerajaan adalah tidak demokratik dan bertentangan dengan Perlembagaan yang menjadi kebebasan bersuara.

Kebanyakan daripada judul buku beliau 18 buah telah disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak yang bererti lebih teruk daripada pengharaman kerana ia akan membawa implikasi penjara kepada sesiapa yang mencetak, mengedar menjual dan memilikinya.

Selain menerima Anugerah Kebebasan Akhbar Antarabangsa dari Committee to Protect Journalist (CPJ) Zunar juga pernah menerima Anugerah Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial daripada Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa (CRNI) pada 2015 lalu.

Zunar  ketika menerima Anugerah Kebebasan Akhbar Antarabangsa pada November lalu.

TAGS