Kerajaan negeri diberi tempoh 15 hari henti aktiviti bauksit, kata PEKA

Kerajaan negeri diberi tempoh 15 hari henti aktiviti bauksit, kata PEKA

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan Pahang diberi tempoh sehingga 15 Januari ini untuk menghentikan sepenuhnya aktiviti perlombongan bauksit di negeri itu.

Jika tidak, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta ribuan penduduk yang terjejas dengan aktiviti itu akan membina benteng manusia secara besar-besaran bagi menyekat laluan jentera dan lori mengangkut bauksit di semua pintu daerah di Kuantan.

Pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Khaidir Ahmad berkata, langkah sama turut akan dibuat di pintu masuk Pusat Simpanan Bauksit di Gebeng dan Pelabuhan Kuantan.

“PEKA Pahang mengalu-alukan arahan Kabinet supaya kerajaan negeri Pahang menghentikan sementara kegiatan perlombongan bauksit di Kuantan.
“Bagaimanapun, PEKA Pahang berpendapat kegiatan itu perlu dihentikan terus demi kesejahteraan alam sekitar dan kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut Khaidir lagi, tempoh sehingga 15 Januari yang diberikan kepada kerajaan negeri adalah wajar ekoran penduduk yang terlibat dan terkesan dengan aktiviti perlombongan itu telah lama menderita.

TAGS