Kerajaan negeri Melaka perlu sedia peruntukan tangki air elak catuan

Kerajaan negeri Melaka perlu sedia peruntukan tangki air elak catuan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Amanah Negeri Melaka mahu kerajaan negeri mengambil kira cadangan parti itu untuk mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Naib Ketuanya Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, jika berlaku juga proses catuan air maka rakyat diharapkan cuba menyediakan tangki air dirumah.

“Kami mencadangkan kerajaan memberikan bantuan peruntukan pemasangan tangki rumah bagi rakyat yang berpendapatan di bawah RM2000 sebulan.

“Setelah semua ikhtiar dan tindakan kami menyeru agar pimpinan negeri dan semua rakyat melakukan solat hajat memohon Allah melindungi kita semua dari bala kekurangan air,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron semalam, yang dipetik berkata, mengumumkan untuk melakukan catuan air jika paras air di ketiga-tiga empangan utama di negeri ini mencapai paras 50 peratus dalam masa dua minggu lagi.

Sofi mengharapkan kerajaan dan SAMB dapat mengambil langkah-langkah drastik dan segera bagi mengelakkan catuan air tersebut.

Antara langkah-langkah tersebut yang dicadangkan ialah :

1) Mengurangkan jumlah pembaziran air akibat paip pecah, penyelenggaraan yg tidak baik, kecurian air dan sebagainya. Ambil tindakan penguatkuasaan jika berlaku sebarang kecurian dan sebagainya.

2) Menjalankan kempen mengelakkan pembaziran air oleh pengguna

3) Menjalankan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan di kawasan-kawasan berkenaan

4) Menghasilkan bekalan air terawat dengan pantas dan cepat.

5) Menjalankan pengagihan air mengikut keperluan setempat supaya tiada pembaziran.

6) Mencari jalan untuk mendapatkan sumber air dari negeri-negeri jiran.

Kepada rakyat kami menyeru supaya elakkan pembaziran air : –

1) Pastikan penggunaannya hanya untuk keperluan asas.

2) Pastikan semua kebocoran paip di rumah, pejabat dan industri dibaiki.

3) Laporkan jika terdapat sebarang kejadian mencuri air

4) Laporkan dengan segera jika ada paip pecah di mana2.

TAGS