Kerajaan Negeri Selangor agih 1,100 lembu kepada 675 masjid dan surau

Kerajaan Negeri Selangor agih 1,100 lembu kepada 675 masjid dan surau

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan Negeri Selangor mengagihkan 1,100 lembu kepada 675 masjid dan surau di negeri inibagi tujuan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipetik berkata, program Kerajaan Negeri bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bukan sekadar acara tahunan tetapi membawa makna besar melalui pembabitan secara langusng anak syarikat Kerajaan Negeri dan pihak berkaitan.

“Pada tahun ini kita menyerahkan 1,100 ekor lembu kepada 675 masjid dan surau solat Jumaat di semua sembilan daerah di Selangor.

“Harapan kita supaya program seumpama ini dapat menerapkan semangat pengorbanan cukup tinggi di kalangan pimpinan untuk bersama menyemarakkan syiar Islam di negeri ini,” katanya seperti dilapor Selangorkini.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Lembu Sempena Sambutan Aidiladha peringkat Selangor 1437H/2016M semalam.

Katanya, usaha digerakkan adalah permulaan yang baik untuk semua pihak bertindak secara tuntas dalam melakukan amal ibadah kepada Allah.

“Kita berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk sosio ekonomi juga kepimpinan dan bagi saya semua ini pastinya mempunyai penyelesaian sekiranya umat Islam bersatu serta berpegang kepada prinsip menurut perintah Allah.

“Sambutan Aidiladha tahun ini adalah kesempatan baik untuk kita memperkukuhkan ukhwah dan persaudaraan kita.

“Mudah-mudahan persaudaraan utuh ini, kita dapat mendepani arus cabaran semakin getir hari ini,” katanya.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman serta Pengarah Jais, Datuk Haris Kasim.

Majlis juga disertai Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Soffan Affendi Aminudin serta Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali.

Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidi Adha pada hari Isnin ini.

TAGS