Kerajaan Pas Kelantan digesa berunding dengan Orang Asli

Kerajaan Pas Kelantan digesa berunding dengan Orang Asli

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob digesa supaya mengambil tindakan berunding dengan masyarakat Orang Asli di Gua Musang untuk menyelesaikan masalah dan tidak hanya berlepas tangan kepada agensi persekutuan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Wan Anwar Wan IbrahimMenteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob digesa supaya mengambil tindakan berunding dengan masyarakat Orang Asli di Gua Musang untuk menyelesaikan masalah dan tidak hanya berlepas tangan kepada agensi persekutuan.

Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (Kanun) Parti Amanah Negara (Amanah) Wan Anwar Wan Ibrahim dalam satu kenyataannya, menegaskan, kawasan hutan dan balak sebenarnya terletak dalam bidang kuasa negerisebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan kes Kong Chee Wai & Anor lwn Pengarah Tanah Dan Galian Perak & Ors [Saman Pemula No.: 24NCVC-76-02/2015], Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak telah memutuskan bahawa sesuatu Kerajaan Negeri mempunyai tugas fidusiari untuk menjaga hak dan kepentingan Orang Asli termasuklah mengenalpasti dan mewartakan tanah adat sebagai rizab Orang Asli.

Kanun seterusnya menggesa Kerajaan Pas Kelantan untuk terus mempertahankan hak dan kepentingan Orang Asli ini selaras dengan Bahagian 6, Deklarasi Hak Orang Asal Antarabangsa (United Nations Declaration of the Rights of Indigenous People [UNDRIP]) yang menyatakan antara lain bahawa: Kerajaan mesti melaksanakan proses yang boleh memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada Orang Asli dan hak-hak mereka ke atas tanah adat dan tanah asal.

Akhir sekali, menurut kenyataan itu, Kanun juga telah meminta wakil peguam untuk memantau dan memberikan khidmat bantuan guaman kepada masyarakat Orang Asli yang terlibat supaya kepentingan dan hak mereka akan terus dilindungi.

Sejak dua hari lalu 47 Orang Asli telah ditahan reman atas perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majisret Gua Musang.

Mereka ditahan dalam operasi merobohkan sekatan di Pos Petei dan Pos Bihai di hutan simpan Balah, Gua Musang, Kelantan semalam.
Permohonan reman dibuat atas kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 32, Seksyen 47 dan Seksyen 81 Enakmen Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh dan menduduki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran.

Memandang berat isu ini kerana ianya melibatkan hak asasi golongan minoriti rakyat negara ini yang sepatutnya hak mereka dipertahankan.

Masyarakat Orang Asli tersebut bersungguh-sungguh mempertahankan tanah adat turun-temurun mereka daripada dimusnahkan akibat aktiviti pembalakan yang tidak terkawal sehingga mencemarkan dan mengganggu serta menjejaskan kehidupan seharian, mata pencarian, sumber air dan makanan malah tempat perkuburan nenek moyang mereka.

Pada Selasa Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub berkata, Kerajaan Negeri telah menyerahkan isu berkaitan insiden menghalang laluan balak di tiga lokasi iaitu di Hutan Simpan Kekal Balah, Hutan Simpan Kekal Perias dan Hutan Simpan Kekal Gunong Stong Selatan kepada Jabatan Perhutanan Negeri dan pihak Polis.

 

TAGS