Kerajaan perlu ambil alih pembentangan RUU 355

Kerajaan perlu ambil alih pembentangan RUU 355

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pindaan usul RUU 355

Hari terakhir parlimen sesi bajet Okt-Dis 2016 sekali lagi mengulangi drama dan saspens seperti sesi Jun 2016 yang lepas. RUU 355 oleh Marang tidak dibahas dan ditangguh perbahasan pada sesi akan datang (jangkaan Mac 2017) atas permintaan Marang sendiri. Apa dah jadi? Dua kali diberi peluang dua kali tidak berbahas.
Lebih menarik usul Marang kali ini ada pindaan dari asal iaitu meletakkan had hukuman berbanding dahulu yang dicadangkan secara cek kosong.

Suasana yang diciptakan oleh Ahli Parlimen Marang hari ini seperti sebelumnya telah menimbulkan lebih banyak kekeliruan daripada penjelasan.

1. Pindaan asal yang tiada had hukuman diperkenalkan dengan had hukuman yang baru iaitu 30 tahun penjara, RM100,000 denda dan 100 kali sebatan pada kesalahan jenayah syariah. Apa rasional nya dan bagaimana ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?

2. Tanpa perbahasan, usul Marang akan menimbulkan berbagai persepsi antara yang taksub menyokong dan yang taksub menolak. Suasana ini melahirkan perpecahan berterusan dan boleh membawa kebencian sesama rakyat.

3. Bukan Islam akan menentang bukan kerana RUU 355 tetapi ‘cara dan kaedah’ ianya dibawa dari sebuah parti Islam yang selama ini memperjuangkan hudud sebagai tunggaknya yang ditanggap secara negatif oleh masyarakat bukan Islam.

4. Ahli Parlimen Muslim dan dan bukan Muslim dibiarkan dalam keadaan terus didesak oleh pengundi masing-masing antara pro dan kontra kerana pembentangan YB Marang yang tergantung. Mereka tidak dapat lari dari menanggap ianya tindakan politik dan bukan untuk menyelesaikan masalah berkaitan.

5. Fahaman takfir terus menyuburkan radikalisasi agama dan masyarakat Islam semakin menjadi dogmatik dan tidak toleran sesama mereka apatah lagi sesama bukan Islam.

Oleh itu adalah wajar saranan Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang memberikan pandangan bahawa kerajaan harus bertanggung jawab mengambil alih proses pembentangan ini sekadar segera dan dalam proses, parlimen membentuk jawatankuasa khas bagi menangani permasalahan di atas agar dapat membendung sesuatu yang lebih buruk berlaku.

YB Marang dan partinya tidak seharusnya menjadikan RUU 355 ini sebagai modal politik dan ini boleh dibendung melalui jawatankuasa yang diwakili semua parti dan semua kaum mengendalikan kehangatan tajuk ini secara bijaksana.

Akhirnya semua pihak harus akur hak kebebasan bersuara, proses demokrasi dan pada waktu yang sama memastikan perpaduan nasional terpelihara.

* Penulis ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan Naib Presiden Parti Amanah Negara.

TAGS