Kerajaan pusat, negeri kerjasama cari dalang pencemaran air Selangor

Kerajaan pusat, negeri kerjasama cari dalang pencemaran air Selangor

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan hari ini bersetuju bekerjasama bagi mengheret dalang pencemaran air di negeri itu ke muka pengadilan.

Menteri besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jawatankuasa bersama itu membolehkan jabatan dan agensi di bawah negeri juga persekutuan bergerak sebagai satu pasukan.

Katanya, kerjasama itu juga bukan sahaja terpakai ketika pencemaran tetapi berterusan pada masa akan datang.

“Sebelum ini, kita menghadapi kesukaran untuk menyerahkan bahan bukti kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) tetapi hari ini menteri bersetuju dan mengeluarkan arahan supaya bukti dikutip juga disediakan negeri mesti diterima sebagai sebahagian proses tindakan undang-undang,” katanya seperti dipetik Selangorkini.

Terdahulu, Mohamed Azmin menerima kunjungan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di pejabatnya bagi membincangkan isu pencemaran Sungai Semenyih.

Mohamed Azmin turut menyerahkan bukti sampel air dan tanah kepada Wan Junaidi untuk siasatan penuh sebelum diserahkan kepada Peguam Negara bagi tindakan undang-undang.

Beliau berkata, jawatankuasa bersama turut dilanjutkan antara Selangor dengan agensi berkaitan di Negeri Sembilan dan Pahang.

“Sebelum ini, jabatan dan agensi berkaitan seperti JAS, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor Sdn Bhd tidak boleh melepasi sempadan untuk siasatan kerana tertakluk kepada agensi lain.

“Tetapi selepas ini akan ada kerjasama antara agensi negeri lain,” katanya.

Sebelum ini, portal berita The Sun Daily melaporkan, Mohamed Azmin mendakwa siasatan awal menunjukkan pencemaran air di Sungai Semenyih disabotaj Umno dan mengaitkannya dengan pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir.

TAGS