Kerajaan wajar iktiraf peneroka yang mahu berdikari

Kerajaan wajar iktiraf peneroka yang mahu berdikari

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menggesa kerajaan mengiktiraf dan menghargai warga peneroka yang membuat keputusan untuk mengusahakan kebun masing-masing.

Mazlan Aliman ANAKPresidennya, Mazlan Aliman berkata, usaha 17,679 peneroka yang cuba untuk tidak berterusan bergantung dengan Felda wajar dihargai kerajaan sesuai dengan semangat penubuhan Felda sejak 60 tahun lalu.

“Saya pelik sejak dari dulu lagi, kenapa kerajaan tidak mengiktiraf dan menghargai langsung peneroka yang buat (kebun) sendiri.

“Tujuan pembukaan Felda ini ialah menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan melalui pemberian tanah pertanian kepada rakyat.

“Matlamat akhirnya untuk mewujudkan masyarakat berdikari seperti pernah disebut bekas Pengerusi Felda, Raja Tan Sri Muhammad Alias Raja Mohd Ali ialah melahirkan masyarakat yang berdikari,” tegasnya di Felda Sungai Klah, Sungkai kelmarin.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional itu berkata, peneroka yang keluar dari Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sepatutnya dijadikan contoh kepada warga golongan terbabit.

“Saya sangkakan Tan Sri Shahrir Abdul Samad (Pengerusi Felda) akan buat perubahan ini dengan membuka ruang dan keadilan kepada golongan Felda. Rupa-rupanya setakat lapan bulan ini sama saja dengan Isa Samad (bekas Pengerusi Felda),” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mazlan menyifatkan jumlah warga peneroka yang tidak bersama Felda akan terus meningkat pada masa akan datang tetapi perkembangan tersebut dilihat tidak disenangi pihak terbabit.

“Padahal, serah pada Felda buat kerja, peneroka berhutang sampai RM200,000. Kadar faedah tinggi 6.25 peratus sampai ada peneroka ‘interest’ saja RM47,000.

“Kalau usahakan sendiri tak tanggung banyak hutang tapi kerajaan nafikan insentif, duit raya empat tahun berturut-turut tidak dapat,” katanya.

Beban hutang

Bagaimanapun, Mazlan menganggap majoriti peneroka yang menyerahkan Felda untuk menguruskan ladang mereka mempunyai sebab dan pertimbangan tertentu untuk berbuat demikian.

“Di Felda Sungai Klah, 55 peneroka buat sendiri, 30 orang kemudiannya kembali kepada Felda sebab faktor ketiadaan waris untuk usahakan.

“Satu lagi kumpulan, peneroka yang serah (tanah) dari awal (untuk Felda uruskan). Saya tidak salahkan mereka sebab kelompok majoriti ini kalau ikut statistik Felda, terdapat 94,956 orang daripada 112,635 peneroka di 317 tanah rancangan Felda,” jelasnya.

Menyentuh bebanan hutang ditanggung waris peneroka, beliau berpendapat Felda tidak telus dalam pengurusan kewangan sehingga mengakibatkan hak peneroka tertindas.

“Isu hutang peneroka ini tidak pernah dibincang secara serius. 10 tahun lalu di Gugusan Trolak, peneroka memaklumkan kepada saya, mereka terima penyata hutang antara RM40,000 sehingga RM50,000 seorang.

“Peneroka ini tidak pernah buat hutang tetapi bagaimana tiba-tiba muncul hutang sebanyak itu? Ini bukti tidak telusnya cara pengiraan membabitkan proses tanam semula tersebut.

“Bila kita mahu buat laporan polis esoknya 10 pagi tapi 8 pagi sudah keluar satu surat hutang peneroka sudah lupus,” imbasnya kembali.

Turut hadir dalam dialog bersama peneroka tempatan itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja dari PKR, Chang Lih Kang.

TAGS