Kerajaan silap besar beli saham Eagle High, kata Rafizi

Kerajaan silap besar beli saham Eagle High, kata Rafizi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan Barisan Nasional (BN) melakukan kesilapan besar apabila membiarkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membeli pegangan saham dalam sebuah syarikat kelapa sawit Indonesia, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Ini kerana katanya, ia akan memberi kesan buruk kepada peneroka seterusnya mengalihkan sokongan mereka kepada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Ini memberi peluang saya masuk ke Felda untuk menerangkan peranan perdana menteri dalam urus niaga ini.

“Dengan beralihnya sokongan antara 3 hingga 5% pengundi Felda, akan jatuhlah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, laporan menyatakan Felda setuju membeli 37% pegangan PT Eagle High Plantations Tbk dengan nilai RM2.25 bilion (AS$505.4 juta).

Pelbagai pihak termasuk Pengerusi CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak mempersoal kewajaran pembelian itu kerana disifatkan terlalu mahal.

Rafizi mendakwa pembelian itu pastinya akan mengurangkan lagi dana Felda dan memberi kesan kepada peneroka.

“Jika kejatuhan harga saham Felda Global Ventures (FGV) tidak memberi kesan langsung dan segera, sebarang ketidaktentuan dalam aliran tunai Felda akan memberikan kesan terus kepada peneroka.

“Bagi peneroka yang masih menjual buah sawit melalui Felda, kesan mungkin dari segi tawaran harga atau tempoh bayaran.

“Bagi peneroka yang menyerahkan tanaman semula kepada Felda, kesannya dari segi kemajuan kerja penanaman semula, hutang yang ditanggung daripada penanaman semula serta ketepatan bayaran elaun sara hidup sementara menunggu hasil.

“Malah keseluruhan yang menetap di Felda akan terkesan dari segi barang runcit yang dibekalkan melalui kedai diusahakan Felda,” katanya lagi.

Pembelian itu setahun selepas FGV membatalkan rancangan sama membeli 37% Eagle High, ketika itu dengan harga RM3.04 bilion (AS$680 juta).

Rafizi berkata lagi, beliau akan mengadakan siri sidang media berhubung perkara itu dan membuat laporan polis terhadap Najib serta semua ahli lembaga pengarah Felda pada Khamis ini.

 

TAGS