Kerjasama politik boleh dilaksana dalam terang dan gelap

Kerjasama politik boleh dilaksana dalam terang dan gelap

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak

Saya dan kita semua memerhati dengan dekat tentang kenyataan pimpinan Parti United Malay National Organisation (Umno) dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 yang berakhir pada Sabtu. Antara perkara yang diperkatakan dalam PAU itu ialah kesediaan Umno menghulur tangan kepada PAS untuk bekerjasama dalam arena politik negara.

Bagi saya di dalam politik semua boleh berlaku. Sesiapa sahaja boleh bekerjasama sama ada dalam sebuah pakatan yang rasmi atau tidak rasmi.

Kerjasama politik ini boleh dilaksanakan secara terang dan jelas atau pun secara tidak nampak di mana pimpinan tertentu sahaja yang tahu.

Kerjasama boleh dilaukan dengan cara memberi wang kepada parti lawan dalam urusan pentadbiran dan pilihan raya tetapi berlawan pada kerusi yang sama bagi mengabui mata ahli dan rakyat.

Ini dilakukan semata-mata untuk memecahkan undi pembangkang untuk memudahkan Umno-BN menang.

Kerjasama juga boleh dijalankan dengan meletakkan individu tertentu daripada parti sahabat di posisi yang tertentu dalam agensi kerajaan sama ada secara jelas atau tidak jelas.

Semua ini boleh dilakukan dengan persetujuan bersama demi mencapai matlamat yang lebih besar dalam politik mereka.

Ahli dan penyokong bawahan tidak akan diberi tahu jika strategi licik seperti ini ingin dilaksanakan. Strategi sebegini akan menjejaskan sokongan ahli jika diketahui. Sebab itu jika ada pun pimpinan atasan akan tetap menafikannya.

Bagi saya kedua-dua parti berhak menjalinkan kerjasama jika kerana sejak akhir-akhir ini suara Umno dan PAS sudah banyak persamaannya terutama dari segi semangat perkauman Melayu dan keputusan yang dibuat di Parlimen.

Adalah lebih baik sesebuah parti itu menunjukkan secara jelas kepada ahli dan rakyat tentang hala tuju partinya supaya semua orang tahu ke mana tujuan dan matlamat sesebuah parti.

Bagi saya Parti Amanah Negara (Amanah) juga sedia bekerjasama dengan semua parti yang mempunyai perjuangan yang jelas dengan meletakkan kepentingan keadilan dan Islam, kesejahteraan rakyat, menjunjung demokrasi, membanteras rasuah dan penindasan, pentadbiran yang amanah dan telus sebagai asas perjuangan.Malahan tidak menjadikan semangat perkauman sebagai agenda perjuangan.

Tidak kira sesiapa sahaja, jika mereka bersedia dan membuktikan mereka komited kepada perkara-perkara di atas kami sedia bekerjasama.

Malangnya Umno hingga kini gagal untuk membuktikan perkara di atas. Oleh kerana amat malang bagi politik Malaysia jika PAS sama ada secara terang atau ‘gelap’ sanggup bekerjsama dengan Umno.

Ini kerana dari dulu lagi Umno memang tidak boleh dipercayai seperti kata Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Di saat Umno sedang bertahan dengan ‘mesin oksigen’ ada pula insan yang kelihatan makin rapat dan intim. Keadaan ini benar-benar menguris hati rakyat Malaysia.

TAGS