Kerjasama Umno-PAS: 45 peratus  responden  tidak bersetuju

Kerjasama Umno-PAS: 45 peratus responden tidak bersetuju

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati kerjasama Umno dan Pas tidak akan memberi sebarang manfaat kepada nasib orang Melayu di negara ini, malah dikhuatiri menyebabkan perpecahan susulan kemarahan penyokong Pas terhadap parti pemerintah itu masih menebal.

Timbalan Pengerusinya, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, berdasarkan kaji selidik IDE pada November lepas di Selangor menunjukkan, lebih 45 peratus responden tidak bersetuju dengan kerjasama itu namun sokongan mereka tidak berubah meskipun banyak polisi kerajaan tidak menguntungkan mereka.

“Bila ditanya soal kerjasama, yang bersetuju dalam 35 peratus saja, bakinya lebih besar tidak bersetuju, khususnya dalam kalangan penyokong Pas.

“Kalau berlaku pertandingan antara Pas dan Umno, pengundi Pas akan mengundi Pas (manakala) pengundi Umno akan mengundi Umno,” katanya dipetik dari Sinar Online.

Beliau mengulas kenyataan Adun Salor, Datuk Husam Musa dalam posting terbaharu di akaun Facebooknya semalam melahirkan kebimbangannya kerana hubungan baik antara Umno dan Pas didakwa akan memberi kesan kepada nasib orang Melayu pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Mohammad Redzuan juga berkata, apabila perpecahan dalam Pas berlaku kerana penolakan kerjasama itu, ia sebenarnya tidak menyelesaikan masalah perpaduan orang Melayu khususnya antara dua parti terbabit.

“Kalau itu (kerjasama) berlaku saya melihat, pilihan raya nanti yang rugi adalah Pas, maklumlah Umno ini masalah dalamannya nak beri kerusi pun bergaduh berhabis-habisan, apatah lagi nak beri kepada orang lain.

“Kita tahu sejarah Umno ini, bercakap perpaduan Melayu pun dia tersepit juga. Saya nampak sama saja, penyokong Umno tetap Umno, penyokong Pas tetap Pas, tidak akan berlaku penyokong Umno akan menyokong Pas dan sebaliknya,” ujarnya.

Mohammad Redzuan berkata lagi, penolakan akar umbi terhadap kerjasama itu disebabkan perjuangan Umno terhadap nasib orang Melayu tidak menyerlah sejak berpuluh tahun, sekali gus sukar meyakinkan semua pihak kepada penyatuan semula kedua-dua parti itu.

Menurut kaji selidik IDE lagi, walaupun penyokong Umno marah kepada pemimpinnya kerana soal kepincangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kenaikan harga barang kerana polisi baharu kerajaan, namun mereka tetap setia kepada parti Melayu itu.

“Bukan kerana penyelewengan atau marah, penyokong Pas atau Umno, itu semua (isu) tidak menjejaskan sokongan mereka terhadap parti masing-masing.

“Kalau Pas mengharap jika krisis ini mereka (orang Umno) akan menyokong Pas, berdasarkan kajian saya tidak (berlaku). Mereka tetap (dengan Umno) walaupun mereka tak puas hati dengan 1MDB dan kenaikan harga barang,” dakwanya.

Tambah Mohammad Redzuan, berdasarkan kaji selidik itu juga menunjukkan rakyat mengharapkan pembaharuan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor kerana pemerintahan parti pembangkang itu masih jauh daripada sebarang perubahan ketara yang dikehendaki pengundi-pengundi negeri itu.

“Pakatan kena kerja kuat, kena betulkan, rakyat tidak melihat bahawa pemerintahan Pakatan membawa banyak perubahan, tetapi lebih marah kepada Umno kerana banyak isu termasuk GST,” katanya lagi.

TAGS