Kerjasama Umno-PAS : NGO gesa dahulukan kepentingan rakyat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerjasama di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan atau di antara parti politik harus mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik kepartian demi mengekalkan kuasa.

Presiden Pertubuhan Royalti Kelantan Nazri Deraman berkata, kerjasama baik di antara kerajaan PAS Kelantan dan kerajaan persekutuan yang dikuasai Barisan Nasional (BN) mesti selaras dengan konsep federalisme iaitu menghormati hak-hak kerajaan negeri.

Dengan memberi fokus kepada perjuangan menuntut lima peratus royalti petroleum Kelantan, beliau menyeru kerajaan persekutuan agar tidak menggangu pihak Petronas bagi mematuhi perjanjian Kerajaan Kelantan-Petronas yang dimeterai pada 9 Mei 1975.

Perjanjian tersebut mewajibkan Petronas menjelaskan bayaran tunai royalti lima peratus kepada Kerajaan Kelantan sebagai balasan penyerahan hak untuk mengeluarkan petroleum dari dalam wilayah laut Kelantan.

“Begitu juga dalam melaksanakan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang mengarahkan agar hasil petroleum Kelantan di daratkan dan diproses di bumi Kelantan sendiri, seharusnya titah ini menjadi syarat utama di dalam sebarang kerjasama yang akan atau telah terjalin tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas agenda kerjasama antara PAS dan Umno dalam usaha memperkukuhkan umat Islam di negara ini.

Beliau juga berkata, kekayaan kerajaan persekutuan harus diagihkan kembali kepada negeri-negeri tanpa membezakan pilihan parti politik rakyat.

Ini kerana katanya, rakyat setiap negeri membayar pelbagai cukai yang amat tinggi yang semuanya terkumpul dan seterusnya menjadi pendapatan kerajaan pusat.

“Begitu juga projek-projek pembangunan untuk rakyat Kelantan yang tertangguh semenjak RMK-5 lagi seperti menaik taraf lapangan terbang (antarabangsa), lebuh raya, pelabuhan antarabangsa, jalan raya dan sebagainya adalah satu kerjasama kerajaan pusat ke kerajaan negeri yang sepatutnya dijalankan tanpa apa-apa sentimen kepartian yang tidak matang,” katanya.

Semalam, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS memang bersedia bekerjasama dengan Umno dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan ramai dan bukan menyertai BN sebagai parti komponen.

TAGS