Kerjasama Umno-PAS: Pimpinan BN tidak terima hudud

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong percaya tawaran Umno untuk menghulurkan tali silaturahim kepada Pas adalah atas kepentingan strategi politik.

Ka Siong pada masa yang sama bagaimanapun menegaskan MCA mempunyai ‘bottom line’ dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, pendirian MCA adalah jelas iaitu tidak boleh menerima hukum hudud yang diperjuangkan PAS dan perkara itu turut menjadi bottom line buat MCA.‎

Katanya, MCA selama ini memilih untuk bekerjasama dengan Umno kerana parti pemerintah tersebut memilih cara kesederhanaan.

“Hanya Perdana Menteri, sendiri yang tahu tujuannya dalam menunjukkan tanda berbaik dengan Pas.

“Saya mentafsir tindakan Perdana Menteri itu sebagai strategi untuk mengurangkan pergeseran antara Umno dan Pas,” katanya kepada Sinchew Daily dipetik dari portal media.

Dalam pada itu, Naib Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata, partinya tidak campur tangan dalam kerjasama Umno-PAS selagi ia tidak menyentuh isu hukum hudud.

“Dalam keadaan di mana kebanyakan orang Cina membantah pelaksanaan hukum hudud, kerjasama Umno – PAS  tidak harus dibina atas asas hukum hudud,” katanya.

Presiden SUPP, Sim Kui Hian juga senada menekankan pendirian partinya yang membantah pelaksanaan hukum hudud.

“Apa yang penting di Sarawak pada masa ini ialah menilai semula kontrak sosial gagasan Malaysia.

“Ini membabitkan pemulangan autonomi kepada Sarawak, agenda ini adalah lebih penting daripada isu politik yang lain,” katanya.

Ditanya mengenai isu kerjasama Umno-PAS, Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Adenan Satem hanya berkata, keadaan itu boleh berlaku.

“Ia mungkin, kenapa tidaknya? (Is possible, why not?),” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2015 Khamis lalu, berkata parti itu mahu menghulurkan ‘tali silaturahim’ kepada PAS untuk bersama-sama membina dan membangunkan negara mengikut syariat Islam selepas PAS ‘tolak’ oleh rakan-rakan pembangkangnya.

 

TAGS