Kes Ambiga, tidak semua laporan polis wajib disiasat, kata Hanipa

Kes Ambiga, tidak semua laporan polis wajib disiasat, kata Hanipa

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara (IGP) yang dilaporkan FMT sebagai berkata bahawa siasatan ke atas Datuk S Ambiga dibuat kerana ada laporan polis dibuat ke atasnya dan ia membabitkan jumlah wang yang bukan sedikit, Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun), Hanipa Maidin berkata, tidak semua laporan polis wajib disiasat dan kes laporan ke atas Ambiga ini satu contoh ia tidak perlu dilayan sama sekali.

Ini kerana kata beliau, laporan itu berasaskan apa yang diplidkan dalam dokumen di mahkamah, dalam bahasa inggeris, ia hanya sekadar “assertion” bukan “evidence”.

“Mana-mana polis yang sedikit sebanyak terdedah dengan proses undang-undang sepatutnya tahu laporan polis yang dibuat hanya berasaskan apa yang Claire kata dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balasnya ke atas saman presiden parti suci tak patut dilayan,” tulis Ahli Parlimen Sepang itu dalam laman Facebooknya.

Fakta itu katanya, belum lagi berstatus keterangan atau “evidence” dan jika polis tidak pasti, ia boleh ditanyakan kepada AG atau DPP, kata beliau lagi.

Keadaan berbeza jika fakta itu disokong oleh satu keterangan yang dikemukakan dan diterima oleh mahkamah, dan ketika itu, ada logik juga disiasat, sambungnya.

Berhubung dakwaan bahawa ia serius kerana melibatkan sejumlah wang yang besar Hanipa berkata, beliau bersetuju tetapi mengapakah baru sekarang ia hendak disiasat sedangkan perkara tersebut telah lama didedahkan.

Sekiranya ia tidak disiasat selama ini kerana tiada laporan polis dibuat, pihak polis pun boleh membuat laporan polis jika ada sesuatu elemen jenayah dirasakan telah berlaku, katanya.

Namun begitu kata Hanipa, jika polis tetap mahu meneruskan siasatan ke atas Ambiga dalam isu RM90 juta ini, beliau berharap ia tidak terhenti atau hanya fokus kepada Ambiga semata-mata, tetapi individu lain seperti Presiden Pas, MO1, Claire dan mereka yang didakwa menerima “dedak” itu, termasuk transaksi pembelian kenderaan misalnya, juga disiasat.

3.3
OVERALL SCORE
2 user votes x 5.0
CATEGORIES