Kes bunuh Altantuya: Azilah mohon pengampunan Sultan Selangor

Kes bunuh Altantuya: Azilah mohon pengampunan Sultan Selangor

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis Diraja Malaysia, Azilah Hadri, hari ini memohon pengampunan diraja daripada Sultan Selangor terhadap sabitan dan hukuman mati kerana membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Peguamnya Datuk Hazman Ahmad berkata pihaknya telah mengemukakan petisyen pengampunan diraja itu kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, pagi tadi.

Petisyen itu antaranya mengandungi nota keterangan kes itu, rekod rayuan dan nas perundangan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya berapa lama proses pengampunan itu, Hazman berkata ia terpulang kepada budi bicara Sultan Selangor.

“Itu terpulang kepada budi bicara dan masa Tuanku. Tertuduh tidak perlu hadir pada perbicaraan itu,” katanya.

Hazman berkata beliau menfailkan petisyen itu selepas mendapat arahan daripada Azilah, 38, yang kini ditahan di Penjara Kajang.

“Setiap pesalah mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mengemukakan petisyen pengampunan diraja,” jelas beliau.

Menurutnya sesi pendengaran itu nanti mungkin dihadiri lima atau enam anggota panel dengan dipengerusikan Sultan Selangor.

Menteri Besar Selangor, Peguam Negara atau wakil daripada Peguam Negara dan anggota-anggota lain yang dilantik oleh Sultan Selangor juga akan menghadiri sesi pendengaran itu.

Pada 13 Jan tahun lepas, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Azilah dan seorang lagi bekas anggota UTK Sirul Azhar Umar, 48, kerana membunuh Altantuya selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan mereka.

TAGS