Kes tukar agama anak, buka ruang kerajaan meminda Akta 355

Kes tukar agama anak, buka ruang kerajaan meminda Akta 355

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

PAS dengan rasa kesyukuran menyambut gembira keputusan Mahkamah Rayuan yang telah mengesahkan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mereka, Muhd Riduan Abdullah, yang sebelum ini sijil penukaran agama mereka telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, beliau  ingin menyampaikan penghargaan di atas penghormatan dan penegasan yang diberikan oleh panel tiga hakim terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Beliau berharap keputusan bagi kes itu menjadi rujukan penting bagi mengelakkan timbul lagi pertikaian teradap status agama seseorang sama ada melibatkan orang dewasa atau kanak-kanak.

“Sebaiknya, peluang daripada kes ini juga dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan untuk memperkasakan institusi Mahkamah Syariah di negara ini sekaligus menjadi ruang bagi meminda Akta 355 seperti yang dituntut oleh PAS.

Nasrudin juga berkata, apa juga keputusan mana-mana mahkamah, pujian amat patut diberikan kepada Muhd Riduan Abdullah di atas kesungguhan memelihara aqidah anak-anaknya.

“Semoga Islam dan seluruh syariatnya dapat dilaksanakan dan semakin teguh di bumi Malaysia yang tercinta ini.

“Semoga beliau dan anak-anak beliau terus istiqamah bersama Islam,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

 Semalam, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan pengesahan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mualaf mereka, enam tahun lepas hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, mengetuai panel tiga hakim yang dianggotai Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Dr Badariah Sahamid, memutuskan perkara berkaitan Islam, isu agama dan sama ada seseorang itu beragama Islam, adalah di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah, lapor Bernama.

“Kami berpendapat perkara berkaitan (penukaran agama) adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah,” kata Balia dalam keputusan majoriti dan sependapat dengan beliau adalah Badariah manakala Hamid Sultan menentang.

TAGS